sekadar bicara hati

tempat ku melakar sejuta rasa.... andai bisa dan masih ada masa....:)

Tuesday, June 22, 2010

bab 3 hingga 5 novel tiga di hati

BAB III

FATIHAH mengusap kepala lelaki yang dipanggilnya Pak Jab itu. Kasihan benar dia kepada lelaki itu. Terasa luluh hati melihat penderitaanya. Wayar-wayar berselirat disambung pada badan lelaki itu. Mujur hari itu hari Sabtu, hari cuti. Bolehlah dia berlama-lamaan menanti lelaki yang agak rapat dengannya itu sehingga sedar.
     “Sudahlah Ati, berehatlah. Ibu ganti pula,” Syarifah Aminah  yang baru masuk selepas bersolat, menegur Fatihah. Gadis itu mengangkat kepalanya. Air mata di kelopak bagai tidak mahu berhenti mengalir.
     “Macam mana boleh jadi macam ni, ibu? Pak Jab kan sihat je?” Lirih suara Fatihah bertanya. Bukan niatnya ingin mengorek rahsia. Namun persoalan itu amat memberatkan kepala.
     “Farihin dah menikah,” perlahan sahaja suara Syarifah Aminah menerangkan. Bimbang mengganggu tidur suaminya.
     “Saya tahu.”
     “Kamu tahu?” Syarifah Aminah terkejut. Perasaannya sedikit terganggu.
     “Abang In ada bagitau saya, masa dia minta putuskan tunang hari tu. Dia kata dia nak menikah bulan ni, ada juga diberitahu tarikhnya. Saya sangka, dia bagitau ibu,” Fatihah memberitahu panjang lebar. Bimbang disalah anggap. Bimbang dia dikatakan bersubahat menipu Syarifah Aminah dan suaminya.
     Syarifah Aminah menggeleng kesal. Sudahlah Farihin tidak menjaga hati orang tuanya, hati Fatihah dilukai sama. Apalah salah gadis benama Fatihah ini di mata Farihin.
     “Maafkan kami Ati, ibu tak sangka Abang In kamu sanggup buat macam ni, ibu tak sangka,” Syarifah Aminah bersuara. Sedih sekali bunyinya. Sesak di dadanya bertimpa-timpa. Perbuatan Farihin, dan masalah kesihatan suaminya menyebabkan air mata menjadi teman setia kini.
     “Tak pe… Ibu, Pak Jab, Abang In tak ada salah apa-apa. Kan jodoh, ajal, maut di tangan Allah?” Fatihah tenang saja mengungkapkan kata-kata itu. Dia benar-benar ikhlas. Itu memang suara hatinya. Mereka bertunang sejak kecil. Pada Fatihah, yang paling penting dia setia. Tidak pernah dibiar hatinya diterokai oleh lelaki lain. Tidak pernah dia membiar orang lain menghuni hatinya. Kalau Farihin berlaku curang, Fatihah rasa Farihin pun tidak salah. Mereka sendiri tidak pernah jatuh cinta. Tidak pernah cuba mengenali dan meneroka diri masing-masing. Hanya ikatan dibuat ibu bapa mematrikan perhubungan. Sebab itu apabila Farihin memohon pengertiannya tempoh hari, dia sedia berundur.
     “Fatihah, can we discuss on something?”
     Segala yang berlaku tempoh hari masih bersisa di sudut hati Fatihah.
     “Ya….what?” Fatihah berdebar. Lelaki ini tidak pernah meminta untuk bertemu. Apatahlagi berdua begini. Kerana itu, Fatihah meminta adiknya, Fatin menemaninya. Fatin duduk di meja berdekatan di restoran itu. Tambah berdebar apabila melihat wajah Farihin yang benar-benar serious.
     “Abang In harap…..” Farihin berhenti di situ. Bagaikan mengumpul kekuatan. Nafas dihela panjang.
     Fatihah mengerutkan dahi. Sengaja ingin menunjukkan dirinya sedang memberikan sepenuh perhatian pada kata-kata yang bakal didengar daripada Farihin.
     “Abang… tetap sayangkan Ati. Tak pernah sekalipun abang benci kat Ati. Tapi… perkara nak jadi… abang tak dapat elak,”
     Fatihah tersentak. Merenung ke wajah yang berusia dua puluh lima tahun itu. Wajah itu bersarang dengan seribu satu persoalan. Ada apa dalam hatinya?
     “Ati… abang berkenan dengan someone masa kat U dulu….Dia Kristian dulu, tapi sekarang dia dah masuk Islam. Abang nak bantu dia. Abang…. Nak jadikan dia isteri abang,” Biarpun tersekat-sekat. Farihin menerangkan jua segalanya. Mujur ayat telah diatur kemas.
     Fatihah hanya terdiam. Otaknya ligat mencari kata-kata yang sesuai bagi menerangkan pendirian dan perasaannya. Kecewa? Memang perasaan itu bertamu. Namun dia tetap sedar, tiada guna memaksa orang untuk menerimanya, apatahlagi untuk mencintai.  
     “Emmmmm….” Gumam Fatihah. Tiada bicara yang mampu keluar dari mulutnya.    
     “Abang In harap Ati faham dan dapat terima semua ni. Abang In tahu, Ati tak susah nak cari ganti yang lebih baik dari abang,” Farihin menambahkan bicaranya setelah melihat Fatihah hanya bungkam.
     “Ati…..” Panggilan Syarifah Aminah mengembalikan Fatihah pada kenyataan. Wajah Farihin yang tenang telah digantikan dengan wajah duka Syarifah Aminah.
     “Ya, ibu,” Fatihah segera menyahut lalu menyimpan episod tadi dalam lipatan kenangan.
     “Dah solat?”
     “Astaghfirullah Hal Azim. Terlupalah ibu,” Fatihah lantas terburu-buru ke bilik solat di hospital itu. Jam di tangan hampir menunjukkan pukul dua. Terasa kesal di hatinya kerana terlalu larut dalam perasaan sehingga yang penting diabaikan.
     “Astaghfirullah Hal Azim……”

*********************************************************

MATA Syed Ahmad meliar. Mencari bilik yang diberitahu anaknya, Syarifah Nur Fatihah. Syarifah Jamilah, isterinya yang gempal berjalan terkedek-kedek sedang mengekori.
     “Cepatlah sikit…. Waktu melawat dah nak habis,” Syed Ahmad meninggikan suara. Sedikit kesal kerana kelewatan isterinya bersiap, membuatkan mereka tiba lambat di hospital. Tinggal setengah jam lagi untuk waktu lawatan. “Tu lah awak, lambat sangat,” tidak habis bebelannya. Setengah jam terlalu singkat untuk melawat seorang saudara rapat seperti Syed Jabar.
     “Bang… Fatihah tu bang,” Syarifah Jamilah mengunjukkan seorang gadis yang sedang bergegas ke bilik solat.
     “Ati!!!” Syed Ahmad berkejar ke arah Fatihah. Ditinggalkan isterinya yang lambat berjalan.
     Fatihah menoleh apabila mendengar namanya dipanggil. “Abah, bila sampai?” Dia segera menyalami lantas tunduk mencium tangan ayahnya.
     “Baru je, umi kamu tu, lambat sangat bersiap,” Syed Ahmad tercari-cari isterinya yang ditinggalkan di belakang.
     “Ati nak solat. Abah nak ke bilik Pak Jab ke? Nanti Ati tunjuk,” Fatihah berpatah balik. Segera membawa ayah dan ibunya ke bilik Syed Jabar. Setelah itu, Fatihah meneruskan niatnya.
     Syed Ahmad terpana. Terlalu banyak wayar tersambung di badan Syed Jabar. Pedih hatinya melihat sahabat, sepupu dan orang yang paling rapat dengannya mengalami nasib begitu.
     “Jab….” Tanpa sedar Syed Ahmad memanggil Syed Jabar.
     Syed Jabar membuka mata, mencari arah suara yang memanggilnya. Senyuman hambar dilontarkan bagai menghampar rasa terima kasih. “Mat…” Suara Syed Jabar begitu lemah. Hampir tidak kedengaran.
     Syed Ahmad meraih tangan sepupunya itu. Punggungnya dilabuhkan di kerusi yang berhampiran dengan katil Syed Jabar. Syarifah Jamilah dan Syarifah Aminah sekadar menjadi penonton keakraban dua sepupu itu. “Rehatlah…” Tangan Syed Ahmad menggosok kepala sepupunya. Mata Syed Jabar terpejam kembali. Wajahnya bertambah tenang. “Minah, macam mana boleh jadi macam ni? Jabkan jaga makan minumnya,” Syed Ahmad benar-benar tidak faham. Baru minggu lepas dia bertemu sepupunya itu. Syed Jabar kelihatan sihat dan ceria. Memanglah lelaki itu diketahuinya menghidap darah tinggi, tetapi agak terkawal.
     “Farihin dah nikah, tak bagitau kami.”
     Syed Ahmad menggeleng. Keputusan Farihin terlalu drastik. Baru dua tiga hari lepas Fatihah bercerita perihal Farihin yang memutuskan tunang dengannya. Tiada hujan, tiada ribut, tiba-tiba saja Farihin bernikah.      “Kemaruk benar ke dia dengan budak tu?” Syed Ahmad meluahkan rasa berang. Keputusan yang Farihin ambil bagai mengetepikan perasaan ibu dan bapanya. Dia bukan marah anaknya ditolak lelaki itu, tetapi dia marahkan perbuatan Farihin yang seolah-olah tidak berfikir.
     “Entahlah Mat. Tak sangka saya, dia sanggup buat Ati macam ni.”
     “Kamu usah risaukan Ati, dia tak apa-apa. Aku dan Milah pun tak marah. Dah tak ada jodoh nak buat macam mana…. Aku bukan marahkan dia tak nak Ati, aku marahkan dia tak bincang dengan kamu yang dia nak kahwin,” Syed Ahmad menerangkan punca kemarahannya. Tidak terniat marahnya kerana mengenangkan Fatihah. Ekor matanya memerhati Fatihah yang sudah kembali ke bilik itu. Kasihan juga Fatihah. Diajar anaknya setia, namun, Farihin pula bertindak sebaliknya. Sudahnya, diminta anaknya menerima qada’ dan qadar. Patuh gadis itu. Sedikit pun tidak memberontak, marah atau menyalahkannya kerana memaksa mencintai lelaki yang tidak setia.    “Sudahlah Minah, jangan sedih-sedih ya. Esok aku datang lagi.”
     “Yalah kak.Sabar, ya,” Syarifah Jamilah yang sedari tadi berdiam diri mencelah. Digosok-gosoknya belakang wanita itu. “Ada apa-apa, akak telefonlah kami. Janganlah segan-segan. Kita kan macam adik-beradik.”
     Syarifah Jamilah dan Syarifah Aminah berpelukan. Air mata Syarifah Aminah tumpah di bahu ibu Fatihah itu. Terharu amat akan persaudaraan tanpa dendam yang dihulurkan.
     “Maafkan Farihin…..”













BAB (IV)

FATIHAH ingin segera menyiapkan ringkasan kerja di bilik guru. Hari ini, hari Khamis. Kalau boleh, selepas sesi persekolahan berakhir, dia ingin melawat Syed Jabar. Sudah seminggu Syed Jabar berada di hospital. Dari hari Isnin hingga ke hari ini Fatihah tidak berpeluang ke hospital. Dari rumahnya di Dungun ke Pusat Perubatan Kuantan memakan masa lebih dua jam. Tak mampu Fatihah berulang-alik memandu kereta setiap hari. Kerana itu, hari ini sebolehnya dia ingin segera sampai ke hospital melawat Syed Jabar.
     Selepas sahaja loceng tamat persekolahan berbunyi, Fatihah bergegas ke tempat letak kereta.
     “Cepat hari ni…” Cikgu Rashidah yang juga guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Sains Dungun itu menegur. Mungkin terasa pelik melihat kelakuan Fatihah hari ini. Biasanya gadis itu tenang sahaja. Tidaklah kelam-kabut seperti hari ini.
     “Nak lawat saudara kat KMC, kenapa kak?” jelas Fatihah yang ketika itu sedang membuka pintu kereta.
     “Ya… la. Pelik akak tengok Fatihah hari ni, lain macam je.”
     Fatihah sekadar tersenyum. Rashidah agak ramah orangnya. Wanita itu sudah lima tahun berkahwin tetapi belum berhasil memperolehi anak.
     “Pergi dulu kak……...”




BAB (V)

DARI TADI Haziq mundar-mandir di kaki lima hospital. Segalanya begitu pantas. Dia menyesal. Hatinya tak putus-putus berdoa akan keselamatan wanita itu. Sudah dua jam, wanita itu dirawat di wad kecemasan. Doktor barangkali masih lagi bertungkus-lumus menyelamatkannya.
     Sebentar tadi polis telah datang mengambil keterangan. Sungguh dia tahu ia disebabkan oleh kecuaiannya. Dia terlalu mengantuk ketika membawa kereta tadi. Sudahlah begitu, dia tetap memandu dengan laju. Sungguh, dia amat menyesali apa yang berlaku. Apakandaya, nasi sudah menjadi bubur. Hanya satu harapannya kini, wanita itu mampu diselamatkan. Kata polis yang menyoalnya sebentar tadi, wanita itu seorang guru. Tidak pula diberitahu namanya. Cuma polis tadi mengatakan yang keluarga wanita itu sudah dihubungi.
     “Doktor, macam mana wanita yang baru accident? Dia tak apa-apa ke?” Haziq bertanya pada doktor yang baru keluar dari bilik rawatan kecemasan.
     “Dia dah stabil. Cuma hilang banyak darah. Masalahnya, hospital ni tak banyak bekalan darah jenis tu. Jenis O+,” doktor tersebut menerangkan panjang lebar. Tidak menarik nafas langsung, pendek kata, bagaikan tidak bernoktah. Dia sebenarnya malas untuk menjawab pertanyaan yang bertali arus.Jadi biarlah dia berikan jawapan yang lengkap.
     “Darah saya O+,”  Haziq menawarkan bantuan. Serasa hanya itu dapat dibuat sebagai tanda meminta maaf.
     “So… awak pergi bahagian derma darahlah. Nanti bahagian sana akan make sure semua ok ke tak. Saya kena pergi jenguk patient lain ni. Ok ye…”  Doktor itu segera berlalu. Dalam fikirannya terbayang pesakit kecemasan yang banyak hari ini. Entah kenapa sejak akhir-akhir ni terlalu banyak kemalangan berlaku.
     Haziq segera ke bahagian derma darah. Di hatinya terasa belas kepada wanita yang dilanggarnya. Wanita itu kelihatan terburu-buru benar.
     Tiba-tiba fikiran nakal menyerbu ke mindanya. Wanita tadi memang menarik. Walau dalam keadaan luka begitu wajah yang mungil dan bersih itu masih terserlah. Teringat Haziq akan kata ibunya, wajah seperti itu wajah orang yang sembahyang. Agaknya wanita itu sudahkah ada yang punya? Harapnya dapatlah dia mengenali wanita itu. Mungkin dapat juga dia memenuhi impian ibunya untuk menerima menantu tahun ini. Tambahan, ibunya mencari cikgu. Harapnya, inilah bidadari yang ditunggu sejak dahulu. Bidadari yang telah dilanggarnya!!!
     “ Encik Haziq!! Encik Haziq!”






BAB (VI)

SYED Ahmad telah banyak kali bertanya pada jururawat yang bertugas di kaunter pertanyaan itu. Soalannya sama; bila dia dapat melawat anaknya? Sudah hampir dua jam dia duduk dan mundar-mandir di sini. Satu jawapan pun tidak diperolehinya. Terukkah Fatihah?
     Selepas sembahyang zohor, dia menanti Fatihah yang semalam memaklumkannya akan pulang petang ini. Namun sehingga jam tiga bayang Fatihah pun tidak kelihatan. Biasanya Fatihah akan bertolak selepas tamat persekolahan. Kalau mengikut pemanduan biasa, dua jam lebih sudah sampai ke rumahnya di Kuantan itu. Kerana bimbang, dia menyuruh isterinya mendail nombor telefon anaknya sehingga berjaya. Setiap kali hanya masuk message box. Ternyata naluri seorang ayah tidak pernah silap.
     Tanpa berlengah, dia bergegas ke Hospital Dungun ini. Dari tadi tiada satu pun berita tentang anaknya diperolehi. Apatahlagi dapat bertemu.
     “Macamana nurse. Tak boleh lagi ke berjumpa anak saya?”
     “Siapa namanya pak cik?” Jururawat muda itu bertanya. Jururawat yang agak berumur tadi sudah pun berakhir syifnya, digantikan oleh jururawat muda yang manis.
     “ Syarifah Nur Fatihah Syed Ahmad.”
     “ Dia masuk wad mana?”
     “Kecemasan. Dia kemalangan, pukul 12 lebih tadi,” Syed Ahmad menerangkan. Di hatinya berdoa jururawat ini mampu merungkai persoalan di hatinya.
     “Maaflah pak cik. Orang yang masuk wad kecemasan memang takde lagi namanya kat sini. Tadi tak silap ada dua kes kemalangan. Satu cedera parah yang satu lagi, meninggal.”
     Kata-kata dari jururawat yang agak ramah ini meninggalkan debar di hati Syed Ahmad. Janganlah Fatihah meninggalkan dunia sebelumnya.
     “Emmm… pak cik. Cool down dulu. Biar saya telefonkan bahagian kecemasan,” jururawat itu menerangkan apabila melihat kerterlanjuran katanya yang membuatkan lelaki itu terkejut. Segera dia mendail wad kecemasan dan mendapatkan maklumat tentang Fatihah. Takut juga dia kalau dia menyebabkan pesakit di wad kecemasan bertambah. Manalah tahu, lelaki itu menghidap sakit jantung. “ Pak cik, anak pak cik tak apa-apa. Dia sekarang dihantar ke ICU. Kata doktor, sebagai pemantauan sehingga esok. Kalau esok dia takde apa-apa, dia boleh masuk wad biasa,” perlahan-lahan dia menerangkan maklumat yang diperolehinya tadi. Kebimbangan akan tahap kesihatan pak cik itu, membuatkan dia lebih berhati-hati.
     Syed Ahmad menguntum senyum. Bersyukur dia pada Allah kerana menukarkan jururawat yang sudah berumur tadi kepada jururawat yang muda ini. Menukarkan jurarawat yang mencuka tadi kepada yang manis ini.
     “Terima kasih ya…”

*********************************************************

FATIHAH sudah membuka mata. Kerana sedikit silau, dia menutup matanya kembali.
     “Ati…..”
     Fatihah mendengar lirih suara ibunya. Biarpun matanya sudah ditutup, namun, suara yang didengar sejak dalam kandungan tidak perlu diteka. Sangat dicamnya.
     “Ummi, silaulah. Tolong tutupkan tingkap,” Fatihah memohon pertolongan ibunya. Ibunya tersenyum. Gembira anaknya telah sedar. Rasa sedikit lucu kerana silau itu bukan disebabkan tingkap yang terbuka, tetapi lampu yang betul-betul di atas kepalanya. Wad ICU itu sedikit sahaja penghuninya. Hanya Fatihah dan seorang pesakit barah buah dada yang khabarnya nazak. Suami pesakit barah itu baru sahaja keluar menunaikan solat.
     “Ati di mana ni ummi?” Agak lemah Fatihah menuturkan kata. Ingatannya agak kabur tentang apa yang berlaku. Seingatnya, dia sedang dalam perjalanan ke KMC.
     “Hospital ni.”
     Fatihah cuba bangun. Lemah dan sengal seluruh tubuh. Apabila dia menggerakkan tangan, baru dia sedar ia berbalut.
     “Tangan Ati tu patah. Janganlah gerak sangat!” Ibu Fatihah membetulkan bantal. Belas hati melihat anaknya begini.
     “Abah mana?” Melilau mata Fatihah mencari Syed Ahmad.
     Syarifah Jamilah sedar, anak sulungnya itu memang rapat dengan Syed Ahmad. Dulu, ketika kecil, orang memanggil Fatihah ‘ekor Syed Ahmad’. Syarifah Aminah tersenyum sendiri.
     “Ummi ni, orang tanyakan abah, dia senyum pulak.”
     “Yelah, kamu  ni, pantang nampak ummi, tanya abah je.”
     “Takkan nak tanya mana ummi pulak. Mestilah tanya mana orang yang tak ada. Kalau nampak abah, Ati tanya mana ummi,” petah sahaja Fatihah membela diri. Kalau sekadar mendengar suaranya, pasti sesiapa pun tidak menyangka dia baru sedar dari kemalangan.
     “Eh, tadi masa bangun macam orang sakit. Ni macam orang sihat je menjawab. Cam tu, tak jadi ummi nak tidur sini malam ni,” Syarifah Jamilah sengaja mengacah. Walau sebenarnya tidak seminit pun sanggup meninggalkan Fatihah.
     “Alah ummi, mulut tak sakit. Tangan, kaki, badan sakitlah.”
     Syarifah Jamilah sekadar menggeleng. Dari kecil, Fatihah memang petah berbicara. Wakil pidato sehingga ke peringkat negeri dan pendebat sekolah. Tetapi, walaupun Fatihah suka berdebat, dia tidak pernah membantah kata-katanya dan suami.
     “Ummi tak jawab soalan lagi, abah mana da….”
     “Kat luar tu, borak dengan dengan budak laki yang langgar Ati…. Sapa ye nama budak tu? Emmmm Faisal kut.”
     Fatihah sedikit terkejut. Jam di bilik ICU itu menunjukkan angka dua belas. Sanggup pemuda itu menunggunya.
     “Ummi, kalau gini, macamana nak sembahyang?”
     Syarifah Jamilah rasa berbangga dengan Fatihah kerana dia tidak meninggalkan solat walau apa jua keadaan. Tidak rugi rasanya Syarifah Jamilah melepaskan jawatannya di sebuah syarikat swasta kalau hasilnya anak yang solehah.
     “Subhanallah, takkan tak ingat. Sembahyang duduk boleh, baring boleh.”
     “Ambil wudu’?” Fatihah menunjukkan tangan dan kaki yang berbalut. Sudah tentu air tidak dapat sampai ke semua anggota wudu’.
     “Mana yang sampaila. Tak ingat ke Islam tu mudah.”
       “Baik ustazah,” Fatihah tersenyum. Sengaja meniru gaya percakapan watak kartun Sin Can yang selalu ditonton bersama adiknya. Sebenarnya Fatihah merasa badannya amat sakit, tetapi semua dipendam sahaja. Bimbang ibunya akan menjadi terlalu risau.
     “Tiga kali solat je kan…. Ati tinggal?”
     “Tiga apanya, dah dua hari kamu pengsan! Semalam empat, hari ni, empat! Semuanya lapanlah. Nanti dah sihat jangan lupa ganti,”
     Terkejut Fatihah mendengar kata-kata ibunya. Rupanya dia sudah pengsan agak lama. Sangkanya dia hanya pengsan satu hari sahaja.
     “Ati… Jangan lupa bersyukur pada Allah… Kalau tengok kereta kamu…..” Syarifah Jamilah menangis…. Beremosi. Terbayang kereta yang dilihatnya di balai polis. Kereta itu rasanya sudah tidak boleh digunakan lagi, seakan dilanggar steamroll. Semalam, ketika Fatihah tidak sedarkan diri, Syarifah Jamilah tidak berhenti berdoa akan keselamatan dan kesejahteraan anaknya.
     “Ummi……”

Thursday, June 17, 2010

bab 2 novel tiga di hati

BAB (II)

SYED Jabar mundar-mandir di ruang tamu rumah besarnya. Panggilan telefon daripada sahabatnya, Ramli benar-benar mengganggu fikiran.
     “Tahniahlah Jabar, tak tahu pulak kau dapat menantu hari ni. Aku di Seremban tadi bila anak aku telefon. Dia tanya pada aku. Aku langsung tak tahu-menahu.”
     Syed Jabar terkejut. Langsung tidak diberitahu mengenai majlis pernikahan itu.
     “Tapi, kenapa buat kecil-kecilan? Nikah gantung aje ke? Buat kenduri nanti baru jemput ramai-ramai ye? Hotel mana yang kau tempah agaknya? Kalau nak caterer, aku boleh tolong carikan,” Ramli yang tidak tahu apa-apa terus mengusik dan meneruskan bicara.
     “Aaaaa…. Ya. Nantilah. Mereka tak tahu nak buat bila lagi,” hanya itu yang bisa keluar dari mulut Syed Jabar. Tidak tahu apa yang harus diperkatakan ketika itu.
     “Takpalah Jabar, nanti kendurinya aku pergi. Okeylah, maaf mengganggu, Assalamualaikum,” Ramli ketika itu seakan mengerti, Syed Jabar agak terganggu dengan panggilan telefonnya.
     “Awak memang tak tahu ke anak awak menikah hari  ni?” Suara Syed Jabar melengking.
     Syarifah Aminah tersentak ketika membawakan air untuk Syed Jabar. Bebelan Syed Jabar yang sudah tidak dapat ditebak biji butirnya itu. Sudah keliru di telinganya.  Air di tangan diletakkan di atas meja.
     “Tak… saya… tak tahu, bang,” Syarifah Aminah berkata lembut. Mengharap lirih suaranya bisa menenangkan hati si suami yang panas.
     “Macam mana awak jaga anak? Seorang saja pula tu! Berani dia kahwin tak bagitau kita. Dahlah putus tunang tak beradat!”
     Syarifah Aminah terdiam. Dia tahu salahnya juga semua ini berlaku. Terlalu membiarkan anaknya membuat keputusan. Tak ada gunanya dia berkata apa-apa untuk membela dirinya sekarang. Syarifah Aminah rasa dia memang tiada senjata untuk membela diri.
     “Maafkan saya, bang. Tak sangka, dalam kita  larang, dia buat juga,” dada Syarifah Aminah bertambah sesak. Mereka berdua telah melarang sekeras-kerasnya Farihin untuk mengahwini gadis Kadazan itu. Farihin tidak sepatutnya memutuskan pertunangan. Benar-benar memalukan mereka.
     “Budak tak tahu asal-usul tu yang dikahwinnya. Budak baik macam Fatihah tu ditolak. Agaknya dah dibomohkan dek budak Kadazan tu,” Syed Jabar rasa dadanya sakit. Terbayang wajah besan yang tidak jadi itu kehampaan. Sepatutnya cinta yang diasuh sejak kecil akan berterusan, akan berkekalan seperti dia dan isterinya. Dia benar-benar tidak sangka Farihin akan membuat onar.
     Syed Jabar terduduk di sofa dengan tangannya memegang dada. “Saya tak sangka Minah, dia sanggup buat kita macam ni. Kita manusia, Minah. Manusia berpegang pada janji,” Syed Jabar terus menekan dadanya. Pandangannya berbalam.
     “Abang!!!!!”

Wednesday, June 16, 2010

bab satu novel tiga di hati

BAB (I)

ALHAMDULILLAH. Hanya itu bisa dilafazkan. Farihin benar-benar bersyukur Katrina menjadi miliknya. Sudah banyak halangan ditempuhi, akhirnya dia berjaya menggapai mimpi.
     Farihin terasa syahdu ketika bibirnya menyentuh dahi Katrina yang licin. Terasa bagai hanya anganan. Biarpun pernikahannya ini hanya dihadiri oleh beberapa orang rakan, Farihin tidak kisah. Biar hanya dapat menjalankan akad nikah dan sedikit jamuan untuk yang hadir di rumah yang baru dibeli, dia sangat-sangat gembira. Asalkan Katrina sudah dimiliki. Melihat senyum bahagia yang sentiasa terukir di bibir Katrina, membuat Farihin tidak peduli perkara lain.
     Katrina, gadis Kadazan itu dikenalinya di universiti sewaktu dia mengendalikan orientasi pelajar-pelajar baru. Katrina antara junior yang agak menonjol kerana kepetahan dan keaktifannya. Pada mulanya, dia hanya tertarik untuk berbalas bicara dengan Katrina. Isterinya itu gemar bertukar idea dalam pelbagai hal. Dari hal pelajaran hingga isu semasa. Ada sahaja ideanya.
     Sebenarnya Farihin tidak pernah memberikan ruang di hatinya untuk Katrina kerana dia telah bertunang. Namun begitu, setelah Katrina meminta bantuan untuk memeluk agama Islam, Farihin jadi rapat dengannya. Mungkin kerana Farihin merupakan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam di kampus. Katrina mengharap Farihin dapat membimbing ke jalan yang diredai. Walau ketika itu Farihin telah meminta bantuan daripada kalangan AJK wanita, namun dia tetap mengikuti perkembangan Katrina. Entah kenapa, semenjak mengenali Katrina, kesetiaannya mula goyah. Perhatiannya mula beralih arah. Mungkin hati telah bertemu cinta. Jiwa telah bersua bahagia.
     Selepas itu dia nekad untuk mengambil Katrina sebagai isteri. Tambahan pula dia mengetahui gadis itu terumbang-ambing dalam mencari erti hidup. Sesekali dia mendengar kegoyahan gadis itu ketika berdepan dengan keluarganya di Sabah. Farihin takut keimanan Katrina terlalu ampuh berdepan dengan keluarganya yang amat kuat berpegang pada agama Kristian. Tapi niat yang suci itu dihalang oleh keluarga Farihin. Tambahan pula, dia begitu mudah memutuskan ikatan pertunangannya dengan gadis pilihan keluarga yang telah diikat sejak di dalam kandungan. Perkara itu menyebabkan kemarahan ibu bapanya yang teramat sangat sehingga mereka langsung tidak mahu menjengukkan muka di majlis ini.
     Farihin tidak berniat mengecewakan ayah dan ibunya, tetapi membantu Katrina dalam memperkukuhkan agama dirasakan amat perlu, tanpa asas pegangan yang kuat dan sokongan, Farihin takut Katrina akan kembali pada agama lamanya.
     “Jagalah Katrina baik-baik. Tanggungjawab kau besar. Dia mualaf tau,” Azhar, sahabat baik semenjak di universiti menasihatinya. Tangan Azhar memimpin isterinya, Aina yang memboyot mengandungkan anak pertama mereka.
     “Insya Allah,” dipeluknya Azhar kejap. Kasihan sahabatnya itu, sudahlah bersusah payah dengan karenah isterinya yang macam-macam semenjak mengandung anak sulungnya ini, Farihin pula mengharapkan bantuannya untuk mengadakan majlis hari ini.
     “Thanks, Har,” hanya itu yang bisa dibisikkan ke telinga Azhar atas segala pertolongannya. “Thanks Ain, sebab bagi pinjam suami awak dua tiga minggu ni,” isteri Azhar menguntumkan senyuman. Dia tahu kisah mereka berdua. Berdosa pula rasanya kalau tidak membantu.
     “So…. Kami beransur dulu. Dah malam sangat ni, lagipun tak nak la ganggu korang lama-lama. Oh ye, jangan lupa skill-skill aku ajar tu, tau In,” serentak itu, Azhar menyeringai ketawa. Farihin faham sangat perangai sahabatnya yang suka mengusik.
     “Skill apa, bang?” Aina bertanya.
     “Awak perempuan, duduk diam-diam je la…. Dah, jom balik.”
     Farihin dan Katrina menghantar mereka berdua ke kereta. Sebaik kereta Azhar menghilang, Katrina segera masuk ke rumah, mengemas. Kepenatan jelas terpancar di wajahnya yang bahagia.
     “Rina, dahlah sayang. Esok kita kemas sama-sama,”
     “Bukan Rina lah bang, Soleha. Abang juga yang kata nama tu satu doa. Kalau abang doakan saya soleha, Insya Allah, saya akan jadi muslimah yang soleh, setiap hari.”
     Farihin ketawa. Bijak sungguh isterinya sekarang dalam hal-hal agama. Sedikit kagum di hati Farihin akan ketekunan gadis itu dalam mendalami agama Islam. Walaupun baru enam bulan menjadi muslimah, Soleha sudah pandai bersolat dengan sempurna. Malah, banyak juga surah-surah yang sudah dihafalnya.
     “Sikit lagi je bang,” Katrina terus mengangkat pinggan-pinggan yang bersusun di meja makan lalu membawanya ke dapur.
     “Maaf ye, bang. Saya tengah ‘red light’,”
     “Aisey!”

permulaan

HUJAN turun renyai-renyai di luar restoran. Air minuman yang terhidang terbiar begitu sahaja. Tiada kata-kata yang berbalas ketika itu. Suasana sunyi bagai menyerkap suasana.
     “Aku tak ada niat nak rampas suami kau…” wanita bertudung biru itu memulakan bicara. Dia terasa dia harus memulakan. Tidak harus membiarkan keheningan bertamu tika itu. Tidak harus membiarkan kesunyian mengganti bicara.
     “Aku tahu,” Fatihah tersenyum. Sangkaannya benar. Pasti wanita di hadapannya ini menyangka dirinya akan diserang.
     Wanita itu terkedu melihat senyuman Fatihah. Air tembikai yang manis terasa tawar di tekaknya. Dia tewas dengan senyuman itu. Ikhlaskah? Apalagi mengingati peristiwa sepuluh tahun lalu yang kembali dalam ingatannya.
     “Kau tak patut rampas jawatan aku macam tu saja!” Fatihah mendengus. Wajahnya merah. Kemarahan jelas terpancar. Fatihah bukan calang-calang orang. Pendebat terbaik sekolah. Dia sengaja mencari kerusi untuk duduk. Ada kegusaran di hatinya. Syarifah Fatihah yang dikenalinya kini bertukar menjadi orang lain.
     “Aku tak berniat pun.”
     Fatihah menjegilkan matanya. Jawatan sebagai  Timbalan Presiden Kelab Pembaca telah menjadi miliknya tahun lepas. Kenapa perlu gadis di hadapannya ini yang dinobatkan sebagai presiden pula pada tahun ini? Seharusnya dia lebih layak.
     “Habis tu, kau menawarkan diri jadi calon, bukan niat kau ke?”
     “Aku tak tawarkan diri, diorang yang lantik aku,” dia membela diri. Sahabat-sahabat dalam persatuan itu mencalonkannya berdasarkan ketokohan. Dia memegang jawatan setiausaha tahun lepas. Walaupunbegitu, penglibatannya amat dikagumi oleh semua ahli terutama bekas presiden. Tambahan pula, Fatihah terlalu sibuk dengan kegiatan-kegiatan lain. Fatihah terlalu banyak melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum.
     “Ah, kau tahu aku paling marah kalau orang rampas hak aku!” Fatihah berlalu dengan hati yang sebal. Mereka tidak langsung mencalonkan Fatihah sebagai presiden, malahan juga, jawatan timbalan presiden diberikan kepada orang lain. Selepas peristiwa itu, Fatihah tidak terlibat lagi dalam persatuan itu.
     “Awak…..” Fatihah sengaja mengejutkan wanita itu yang kelihatan larut dalam kenangan. Fatihah senyum lagi. Tiada salahnya tanggapan wanita itu kalau ia berlaku sepuluh tahun dahulu. Fatihah tahu sejarah apa yang membuatkan wanita bertudung biru itu berwajah kelat ketika  bertemu dengannya.
     Wanita itu bagaikan tersentak mendengar sapaan Fatihah. Namun cuba diimbangkan rasa terkejut dengan meneguk air tembikai. Memang tawarkah air itu? Ataukah hatinya yang lubang-libu menjadikan air itu hilang nikmat manisnya?
     “Aku….”