BAB (IX)
KALAU diberi sejuta ringgit pun kegembiraannya takkan jadi sehebat ini. Senyuman yang dihulur ketika masuk ke bilik bapa mertuanya di hospital itu lebih indah dari karangan bunga, lebih indah dari emas permata. Soleha benar-benar tak sangka kepenatannya memandu kereta dari Kuala Lumpur ke Kuantan sendirian dibayar dengan ganjaran yang begini tinggi.
Pagi itu, selepas sahaja solat subuh, Soleha ke dapur menyiapkan sarapan untuk suaminya. Bihun goreng yang menjadi menu pagi itu dimasaknya dengan cepat. Bimbang suaminya tidak sempat menjamah masakannya sebelum pergi ke kerja. Alhamdulillah, keperluan lain suaminya seperti baju dan seluar telah siap diseterika malam tadi. Farihin pula, selepas balik dari surau bersolat subuh biasanya akan menghafal surah. Katanya sekarang dia sedang menghafal surah Ali Imran.
Selepas siap memasak, dihidang bihun goreng itu di atas meja semetara menunggu Farihin bersiap. Siap sahaja kerjanya, Soleha berehat seketika. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini dia cepat penat dan kadangkala mahu pitam. Soleha terlelap seketika.
Ketika tidurnya, dia bermimpi akan bapa mertuanya. Wajah bapa mertuanya tersenyum dalam mimpi itu. Soleha rasa tenang sepanjang tidurnya itu. Ketika terjaga, dilihat suaminya telah bertolak ke tempat kerja. Soleha merasa ralat. Tidak dapat mencium tangan suaminya pagi itu. Sesuatu yang tidak pernah berlaku.
Dicapainya telefon, ingin menelefon telefon bimbit suaminya. Ingin meminta maaf kerana tertidur tanpa sempat mencium tangan Farihin.
“Assalamualaikum, Abang, kenapa tak kejut?” tanya Soleha sebaik sahaja telefon berangkat.
“Saja. Abang tengok macam penat sangat. Tak pelah. Abang dah makan dah bihun Soleha buat. Abang bawa bekal sikit.”
“Emm….. Soleha baru bangun. Cari abang takde. Nak nangis la ni.”
“Ala ciannya. Mimpi apa tadi sampai lena sangat abang tengok?”
“Mimpikan ayah abang. Dia senyum. Ni yang buat Soleha rasa nak tengok dia pagi ni.”
“You want to drive from KL to Kuantan alone? Tunggu abang balikla, okay,” Farihin bertanya. Terkejut. Soleha tidak pernah memandu jauh. Begitu indahkah mimpinya sehingga dia sanggup berbuat sesuatu yang tidak pernah dilakukannya.?
“Abang balik dah petang. Sampai sana , kacau ayah tidur je. Lagipun Soleha nak cakap dengan ayah sendiri. Lagipun takkan abang nak balik terus malam tu. Esokkan abang kerja.”
“Dah tu, tunggulah hari jumaat. Petang abang balik kerja, bolehla kita pergi.” Farihin memujuk. Berat hati melepaskan isteri sendirian ke Kuantan.
“Insya-Allah, takde apa-apa. Janganla abang risau. Niat baik mesti Allah lindung, ya tak?”
Walau berat hati, Farihin memberi keizinan. Hatinya menjadi lembut apabila mengenangkan niat suci Soleha yang mengharapkan kemaafan bapanya.
“Jaga diri baik-baik tau. Ingat orang yang tersayang. Anda mampu mengubahnya.” Farihin sengaja berseloroh. Melindung mendung di hati.
“Isy, abang ni, macam iklan pulak. Insya-Allah. Doa aje la bang.”
Pagi itu juga, Soleha bertolak ke Kuantan. Tepat jam 10.00 pagi, Soleha memulakan perjalanan. Dia banyak kali berhenti. Kepenatan yang menguasai badannya memaksa dia berehat hampir di setiap perhentian rehat. Bermula dengan Genting Sempah, Temerloh, Gambang malahan stesyen Petronas yang besar juga dia berhenti. Perjalanan yang biasanya tiga jam lebih menjadi lima jam.
Sampai sahaja di hospital, Soleha terus menunaikan solat jama’ zohor dan asar di surau hospital. Selepas itu barulah dia ke bilik bapa mertuanya.
Dia benar-benar berharap pertemuan kali ini diisi dengan kemesraan dan kasih sayang. Doanya, janji ibu mertuanya berjaya dikotakan, hanya dia yang boleh memujuk hati Syed Jabar.
“Assalamualaikum.” Soleha menjengukkan diri. Santun dia meloloskan diri ke dalam bilik serba putih itu.
“Waalaikumussalam.” Serentak kedua-dua ibu dan bapa mertuanya menjawab. Senyuman terukir di wajah keduanya. Degup jantung Fatihah bagaikan terhenti. Wajah kasih yang dipamer keduanya sangat berbeza dengan apa yang dilihatnya seminggu sudah.
“Masuklah Soleha.Duduk lah.” Ibu mertuanya mengunjukkan kerusi.
“Soleha drive sorang-sorang ke? Tak penat? Kenapa Farihin tak datang sekali?” Syed Jabar bertanya ramah. Perubahan kelakuannya ketara benar. Hampir 180 darjah.
“emm…. Abang kerja. May be hari ni lambat sikit balik.”
“Kesian Soleha drive sorang-sorang.”
“Takpe. Lagipun kesian abang, balik kerja kena terus drive.” Soleha menjawab seadanya. Bimbang juga dia terlalu ramah sehingga menjadi kurang ajar. Keadaan hening seketika. Soleha sekadar menanti pertanyaan. Ayat yang direka untuk memohon kemaafan tadi telah hilang dari ingatannya. Kemesraan yang dipamerkan memadam segala rancangan.
“Sebenarnya, ibu dan abah dah bincang tadi, kami nak buat kenduri kahwin sikit. Mana boleh tak buat, ya tak? Karang ada lagi orang ngurat si In. Boleh ke?” Entah kenapa, perkara itu yang keluar dari mulut Syed Jabar bagi memecah hening. Memang itu yang ingin diutarakan sebaik sahaja melihat wajah Soleha terjengul di muka pintu.
“Emm… saya takde masalah, abah. Kami ikut je.”
Syed Jabar mengangguk. Cuma satu persoalan di benaknya. Keluarga Soleha. Bagaimana dengan mereka?
“Abah nak tanya sikit ni…. keluarga Soleha dah boleh terima ke Soleha masuk Islam?”
Soleha meneguk air liur. Persoalan itu perit untuk dijawab. Cintanya pada Islam telah membawa Soleha jauh dari keluarga.
“Sebenarnya, abah…. Mak ayah saya tak tahu saya kahwin. Lepas saya masuk Islam, diorang cari saya. Suruh saya murtad. Bila saya tak nak, diorang upah pula orang ikut saya, ugut saya. Memang marah betul diorang. Ugut bunuh pun ada abah. Masa tu tak de kawan pun nak minta tolong, hanya abang je yang berani tolong. Kawan-kawan yang lain, semua dah takut. Abang tumpangkan saya kat rumah dia, dia tidur rumah kawan. Sebab tak nak jadi fitnah, dia ajak saya kahwin.”
Syed Jabar menggeleng kesal. Kerana agama, tak mengikut kata orang tua, nyawa pun sanggup ditaruhkan. Syed Jabar sedikit insaf. Dia pun hampir jadi begitu, walaupun tidaklah sampai membunuh anak.
Soleha berborak kosong sahaja dengan Syed Jabar dan Syarifah Aminah selepas itu. Sekadar berkenalan.
Soleha terus pulang petang itu. Pada mulanya dia ingin menginap di mana-mana hotel di Kuantan sebelum pulang pada waktu pagi tetapi kerana kegembiraan yang memenuhi hatinya, badannya terasa kuat dan segar. Hilang segala keletihan. Dia ingin terus pulang, ingin berkongsi berita itu dengan Farihin. Dalam perjalanan, dia menelefon Farihin. Terlalu excited.
“Abang, guess what I want to tell you?”
“Good or bad news?”
“Both.”
“The bad news first.” Farihin berdebar. Marah lagikah abahnya? Apakah abah telah mengungkit kisah lama pada Soleha? Cerita mengenai Fatihahkah yang diungkit? Marahkah Soleha mendengarnya.
“I don’t want to tell you the good news.” Soleha sengaja mengusik. Ingin meninggalkan tanda tanya di hati Farihin. Soleha tertawa.
Farihin menarik nafas lega. Mendengar Soleha ketawa, Farihin merasa sudah tentu, kemarahan abahnya telah sejuk.
“Abah macamana?”
“Dia dah nak sihat. May be next week boleh balik. Dia kirim salam kat abang. Dia kata……… “
Dam!!! Tiba-tiba talian terputus. Farihin menggelabah. Sebelum terputus dia mendengar bunyi dentuman yang amat kuat.
“Soleha!!!!”.