sekadar bicara hati

tempat ku melakar sejuta rasa.... andai bisa dan masih ada masa....:)

Wednesday, June 16, 2010

bab satu novel tiga di hati

BAB (I)

ALHAMDULILLAH. Hanya itu bisa dilafazkan. Farihin benar-benar bersyukur Katrina menjadi miliknya. Sudah banyak halangan ditempuhi, akhirnya dia berjaya menggapai mimpi.
     Farihin terasa syahdu ketika bibirnya menyentuh dahi Katrina yang licin. Terasa bagai hanya anganan. Biarpun pernikahannya ini hanya dihadiri oleh beberapa orang rakan, Farihin tidak kisah. Biar hanya dapat menjalankan akad nikah dan sedikit jamuan untuk yang hadir di rumah yang baru dibeli, dia sangat-sangat gembira. Asalkan Katrina sudah dimiliki. Melihat senyum bahagia yang sentiasa terukir di bibir Katrina, membuat Farihin tidak peduli perkara lain.
     Katrina, gadis Kadazan itu dikenalinya di universiti sewaktu dia mengendalikan orientasi pelajar-pelajar baru. Katrina antara junior yang agak menonjol kerana kepetahan dan keaktifannya. Pada mulanya, dia hanya tertarik untuk berbalas bicara dengan Katrina. Isterinya itu gemar bertukar idea dalam pelbagai hal. Dari hal pelajaran hingga isu semasa. Ada sahaja ideanya.
     Sebenarnya Farihin tidak pernah memberikan ruang di hatinya untuk Katrina kerana dia telah bertunang. Namun begitu, setelah Katrina meminta bantuan untuk memeluk agama Islam, Farihin jadi rapat dengannya. Mungkin kerana Farihin merupakan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam di kampus. Katrina mengharap Farihin dapat membimbing ke jalan yang diredai. Walau ketika itu Farihin telah meminta bantuan daripada kalangan AJK wanita, namun dia tetap mengikuti perkembangan Katrina. Entah kenapa, semenjak mengenali Katrina, kesetiaannya mula goyah. Perhatiannya mula beralih arah. Mungkin hati telah bertemu cinta. Jiwa telah bersua bahagia.
     Selepas itu dia nekad untuk mengambil Katrina sebagai isteri. Tambahan pula dia mengetahui gadis itu terumbang-ambing dalam mencari erti hidup. Sesekali dia mendengar kegoyahan gadis itu ketika berdepan dengan keluarganya di Sabah. Farihin takut keimanan Katrina terlalu ampuh berdepan dengan keluarganya yang amat kuat berpegang pada agama Kristian. Tapi niat yang suci itu dihalang oleh keluarga Farihin. Tambahan pula, dia begitu mudah memutuskan ikatan pertunangannya dengan gadis pilihan keluarga yang telah diikat sejak di dalam kandungan. Perkara itu menyebabkan kemarahan ibu bapanya yang teramat sangat sehingga mereka langsung tidak mahu menjengukkan muka di majlis ini.
     Farihin tidak berniat mengecewakan ayah dan ibunya, tetapi membantu Katrina dalam memperkukuhkan agama dirasakan amat perlu, tanpa asas pegangan yang kuat dan sokongan, Farihin takut Katrina akan kembali pada agama lamanya.
     “Jagalah Katrina baik-baik. Tanggungjawab kau besar. Dia mualaf tau,” Azhar, sahabat baik semenjak di universiti menasihatinya. Tangan Azhar memimpin isterinya, Aina yang memboyot mengandungkan anak pertama mereka.
     “Insya Allah,” dipeluknya Azhar kejap. Kasihan sahabatnya itu, sudahlah bersusah payah dengan karenah isterinya yang macam-macam semenjak mengandung anak sulungnya ini, Farihin pula mengharapkan bantuannya untuk mengadakan majlis hari ini.
     “Thanks, Har,” hanya itu yang bisa dibisikkan ke telinga Azhar atas segala pertolongannya. “Thanks Ain, sebab bagi pinjam suami awak dua tiga minggu ni,” isteri Azhar menguntumkan senyuman. Dia tahu kisah mereka berdua. Berdosa pula rasanya kalau tidak membantu.
     “So…. Kami beransur dulu. Dah malam sangat ni, lagipun tak nak la ganggu korang lama-lama. Oh ye, jangan lupa skill-skill aku ajar tu, tau In,” serentak itu, Azhar menyeringai ketawa. Farihin faham sangat perangai sahabatnya yang suka mengusik.
     “Skill apa, bang?” Aina bertanya.
     “Awak perempuan, duduk diam-diam je la…. Dah, jom balik.”
     Farihin dan Katrina menghantar mereka berdua ke kereta. Sebaik kereta Azhar menghilang, Katrina segera masuk ke rumah, mengemas. Kepenatan jelas terpancar di wajahnya yang bahagia.
     “Rina, dahlah sayang. Esok kita kemas sama-sama,”
     “Bukan Rina lah bang, Soleha. Abang juga yang kata nama tu satu doa. Kalau abang doakan saya soleha, Insya Allah, saya akan jadi muslimah yang soleh, setiap hari.”
     Farihin ketawa. Bijak sungguh isterinya sekarang dalam hal-hal agama. Sedikit kagum di hati Farihin akan ketekunan gadis itu dalam mendalami agama Islam. Walaupun baru enam bulan menjadi muslimah, Soleha sudah pandai bersolat dengan sempurna. Malah, banyak juga surah-surah yang sudah dihafalnya.
     “Sikit lagi je bang,” Katrina terus mengangkat pinggan-pinggan yang bersusun di meja makan lalu membawanya ke dapur.
     “Maaf ye, bang. Saya tengah ‘red light’,”
     “Aisey!”

No comments:

Post a Comment