sekadar bicara hati

tempat ku melakar sejuta rasa.... andai bisa dan masih ada masa....:)

Tuesday, June 22, 2010

bab 3 hingga 5 novel tiga di hati

BAB III

FATIHAH mengusap kepala lelaki yang dipanggilnya Pak Jab itu. Kasihan benar dia kepada lelaki itu. Terasa luluh hati melihat penderitaanya. Wayar-wayar berselirat disambung pada badan lelaki itu. Mujur hari itu hari Sabtu, hari cuti. Bolehlah dia berlama-lamaan menanti lelaki yang agak rapat dengannya itu sehingga sedar.
     “Sudahlah Ati, berehatlah. Ibu ganti pula,” Syarifah Aminah  yang baru masuk selepas bersolat, menegur Fatihah. Gadis itu mengangkat kepalanya. Air mata di kelopak bagai tidak mahu berhenti mengalir.
     “Macam mana boleh jadi macam ni, ibu? Pak Jab kan sihat je?” Lirih suara Fatihah bertanya. Bukan niatnya ingin mengorek rahsia. Namun persoalan itu amat memberatkan kepala.
     “Farihin dah menikah,” perlahan sahaja suara Syarifah Aminah menerangkan. Bimbang mengganggu tidur suaminya.
     “Saya tahu.”
     “Kamu tahu?” Syarifah Aminah terkejut. Perasaannya sedikit terganggu.
     “Abang In ada bagitau saya, masa dia minta putuskan tunang hari tu. Dia kata dia nak menikah bulan ni, ada juga diberitahu tarikhnya. Saya sangka, dia bagitau ibu,” Fatihah memberitahu panjang lebar. Bimbang disalah anggap. Bimbang dia dikatakan bersubahat menipu Syarifah Aminah dan suaminya.
     Syarifah Aminah menggeleng kesal. Sudahlah Farihin tidak menjaga hati orang tuanya, hati Fatihah dilukai sama. Apalah salah gadis benama Fatihah ini di mata Farihin.
     “Maafkan kami Ati, ibu tak sangka Abang In kamu sanggup buat macam ni, ibu tak sangka,” Syarifah Aminah bersuara. Sedih sekali bunyinya. Sesak di dadanya bertimpa-timpa. Perbuatan Farihin, dan masalah kesihatan suaminya menyebabkan air mata menjadi teman setia kini.
     “Tak pe… Ibu, Pak Jab, Abang In tak ada salah apa-apa. Kan jodoh, ajal, maut di tangan Allah?” Fatihah tenang saja mengungkapkan kata-kata itu. Dia benar-benar ikhlas. Itu memang suara hatinya. Mereka bertunang sejak kecil. Pada Fatihah, yang paling penting dia setia. Tidak pernah dibiar hatinya diterokai oleh lelaki lain. Tidak pernah dia membiar orang lain menghuni hatinya. Kalau Farihin berlaku curang, Fatihah rasa Farihin pun tidak salah. Mereka sendiri tidak pernah jatuh cinta. Tidak pernah cuba mengenali dan meneroka diri masing-masing. Hanya ikatan dibuat ibu bapa mematrikan perhubungan. Sebab itu apabila Farihin memohon pengertiannya tempoh hari, dia sedia berundur.
     “Fatihah, can we discuss on something?”
     Segala yang berlaku tempoh hari masih bersisa di sudut hati Fatihah.
     “Ya….what?” Fatihah berdebar. Lelaki ini tidak pernah meminta untuk bertemu. Apatahlagi berdua begini. Kerana itu, Fatihah meminta adiknya, Fatin menemaninya. Fatin duduk di meja berdekatan di restoran itu. Tambah berdebar apabila melihat wajah Farihin yang benar-benar serious.
     “Abang In harap…..” Farihin berhenti di situ. Bagaikan mengumpul kekuatan. Nafas dihela panjang.
     Fatihah mengerutkan dahi. Sengaja ingin menunjukkan dirinya sedang memberikan sepenuh perhatian pada kata-kata yang bakal didengar daripada Farihin.
     “Abang… tetap sayangkan Ati. Tak pernah sekalipun abang benci kat Ati. Tapi… perkara nak jadi… abang tak dapat elak,”
     Fatihah tersentak. Merenung ke wajah yang berusia dua puluh lima tahun itu. Wajah itu bersarang dengan seribu satu persoalan. Ada apa dalam hatinya?
     “Ati… abang berkenan dengan someone masa kat U dulu….Dia Kristian dulu, tapi sekarang dia dah masuk Islam. Abang nak bantu dia. Abang…. Nak jadikan dia isteri abang,” Biarpun tersekat-sekat. Farihin menerangkan jua segalanya. Mujur ayat telah diatur kemas.
     Fatihah hanya terdiam. Otaknya ligat mencari kata-kata yang sesuai bagi menerangkan pendirian dan perasaannya. Kecewa? Memang perasaan itu bertamu. Namun dia tetap sedar, tiada guna memaksa orang untuk menerimanya, apatahlagi untuk mencintai.  
     “Emmmmm….” Gumam Fatihah. Tiada bicara yang mampu keluar dari mulutnya.    
     “Abang In harap Ati faham dan dapat terima semua ni. Abang In tahu, Ati tak susah nak cari ganti yang lebih baik dari abang,” Farihin menambahkan bicaranya setelah melihat Fatihah hanya bungkam.
     “Ati…..” Panggilan Syarifah Aminah mengembalikan Fatihah pada kenyataan. Wajah Farihin yang tenang telah digantikan dengan wajah duka Syarifah Aminah.
     “Ya, ibu,” Fatihah segera menyahut lalu menyimpan episod tadi dalam lipatan kenangan.
     “Dah solat?”
     “Astaghfirullah Hal Azim. Terlupalah ibu,” Fatihah lantas terburu-buru ke bilik solat di hospital itu. Jam di tangan hampir menunjukkan pukul dua. Terasa kesal di hatinya kerana terlalu larut dalam perasaan sehingga yang penting diabaikan.
     “Astaghfirullah Hal Azim……”

*********************************************************

MATA Syed Ahmad meliar. Mencari bilik yang diberitahu anaknya, Syarifah Nur Fatihah. Syarifah Jamilah, isterinya yang gempal berjalan terkedek-kedek sedang mengekori.
     “Cepatlah sikit…. Waktu melawat dah nak habis,” Syed Ahmad meninggikan suara. Sedikit kesal kerana kelewatan isterinya bersiap, membuatkan mereka tiba lambat di hospital. Tinggal setengah jam lagi untuk waktu lawatan. “Tu lah awak, lambat sangat,” tidak habis bebelannya. Setengah jam terlalu singkat untuk melawat seorang saudara rapat seperti Syed Jabar.
     “Bang… Fatihah tu bang,” Syarifah Jamilah mengunjukkan seorang gadis yang sedang bergegas ke bilik solat.
     “Ati!!!” Syed Ahmad berkejar ke arah Fatihah. Ditinggalkan isterinya yang lambat berjalan.
     Fatihah menoleh apabila mendengar namanya dipanggil. “Abah, bila sampai?” Dia segera menyalami lantas tunduk mencium tangan ayahnya.
     “Baru je, umi kamu tu, lambat sangat bersiap,” Syed Ahmad tercari-cari isterinya yang ditinggalkan di belakang.
     “Ati nak solat. Abah nak ke bilik Pak Jab ke? Nanti Ati tunjuk,” Fatihah berpatah balik. Segera membawa ayah dan ibunya ke bilik Syed Jabar. Setelah itu, Fatihah meneruskan niatnya.
     Syed Ahmad terpana. Terlalu banyak wayar tersambung di badan Syed Jabar. Pedih hatinya melihat sahabat, sepupu dan orang yang paling rapat dengannya mengalami nasib begitu.
     “Jab….” Tanpa sedar Syed Ahmad memanggil Syed Jabar.
     Syed Jabar membuka mata, mencari arah suara yang memanggilnya. Senyuman hambar dilontarkan bagai menghampar rasa terima kasih. “Mat…” Suara Syed Jabar begitu lemah. Hampir tidak kedengaran.
     Syed Ahmad meraih tangan sepupunya itu. Punggungnya dilabuhkan di kerusi yang berhampiran dengan katil Syed Jabar. Syarifah Jamilah dan Syarifah Aminah sekadar menjadi penonton keakraban dua sepupu itu. “Rehatlah…” Tangan Syed Ahmad menggosok kepala sepupunya. Mata Syed Jabar terpejam kembali. Wajahnya bertambah tenang. “Minah, macam mana boleh jadi macam ni? Jabkan jaga makan minumnya,” Syed Ahmad benar-benar tidak faham. Baru minggu lepas dia bertemu sepupunya itu. Syed Jabar kelihatan sihat dan ceria. Memanglah lelaki itu diketahuinya menghidap darah tinggi, tetapi agak terkawal.
     “Farihin dah nikah, tak bagitau kami.”
     Syed Ahmad menggeleng. Keputusan Farihin terlalu drastik. Baru dua tiga hari lepas Fatihah bercerita perihal Farihin yang memutuskan tunang dengannya. Tiada hujan, tiada ribut, tiba-tiba saja Farihin bernikah.      “Kemaruk benar ke dia dengan budak tu?” Syed Ahmad meluahkan rasa berang. Keputusan yang Farihin ambil bagai mengetepikan perasaan ibu dan bapanya. Dia bukan marah anaknya ditolak lelaki itu, tetapi dia marahkan perbuatan Farihin yang seolah-olah tidak berfikir.
     “Entahlah Mat. Tak sangka saya, dia sanggup buat Ati macam ni.”
     “Kamu usah risaukan Ati, dia tak apa-apa. Aku dan Milah pun tak marah. Dah tak ada jodoh nak buat macam mana…. Aku bukan marahkan dia tak nak Ati, aku marahkan dia tak bincang dengan kamu yang dia nak kahwin,” Syed Ahmad menerangkan punca kemarahannya. Tidak terniat marahnya kerana mengenangkan Fatihah. Ekor matanya memerhati Fatihah yang sudah kembali ke bilik itu. Kasihan juga Fatihah. Diajar anaknya setia, namun, Farihin pula bertindak sebaliknya. Sudahnya, diminta anaknya menerima qada’ dan qadar. Patuh gadis itu. Sedikit pun tidak memberontak, marah atau menyalahkannya kerana memaksa mencintai lelaki yang tidak setia.    “Sudahlah Minah, jangan sedih-sedih ya. Esok aku datang lagi.”
     “Yalah kak.Sabar, ya,” Syarifah Jamilah yang sedari tadi berdiam diri mencelah. Digosok-gosoknya belakang wanita itu. “Ada apa-apa, akak telefonlah kami. Janganlah segan-segan. Kita kan macam adik-beradik.”
     Syarifah Jamilah dan Syarifah Aminah berpelukan. Air mata Syarifah Aminah tumpah di bahu ibu Fatihah itu. Terharu amat akan persaudaraan tanpa dendam yang dihulurkan.
     “Maafkan Farihin…..”













BAB (IV)

FATIHAH ingin segera menyiapkan ringkasan kerja di bilik guru. Hari ini, hari Khamis. Kalau boleh, selepas sesi persekolahan berakhir, dia ingin melawat Syed Jabar. Sudah seminggu Syed Jabar berada di hospital. Dari hari Isnin hingga ke hari ini Fatihah tidak berpeluang ke hospital. Dari rumahnya di Dungun ke Pusat Perubatan Kuantan memakan masa lebih dua jam. Tak mampu Fatihah berulang-alik memandu kereta setiap hari. Kerana itu, hari ini sebolehnya dia ingin segera sampai ke hospital melawat Syed Jabar.
     Selepas sahaja loceng tamat persekolahan berbunyi, Fatihah bergegas ke tempat letak kereta.
     “Cepat hari ni…” Cikgu Rashidah yang juga guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Sains Dungun itu menegur. Mungkin terasa pelik melihat kelakuan Fatihah hari ini. Biasanya gadis itu tenang sahaja. Tidaklah kelam-kabut seperti hari ini.
     “Nak lawat saudara kat KMC, kenapa kak?” jelas Fatihah yang ketika itu sedang membuka pintu kereta.
     “Ya… la. Pelik akak tengok Fatihah hari ni, lain macam je.”
     Fatihah sekadar tersenyum. Rashidah agak ramah orangnya. Wanita itu sudah lima tahun berkahwin tetapi belum berhasil memperolehi anak.
     “Pergi dulu kak……...”




BAB (V)

DARI TADI Haziq mundar-mandir di kaki lima hospital. Segalanya begitu pantas. Dia menyesal. Hatinya tak putus-putus berdoa akan keselamatan wanita itu. Sudah dua jam, wanita itu dirawat di wad kecemasan. Doktor barangkali masih lagi bertungkus-lumus menyelamatkannya.
     Sebentar tadi polis telah datang mengambil keterangan. Sungguh dia tahu ia disebabkan oleh kecuaiannya. Dia terlalu mengantuk ketika membawa kereta tadi. Sudahlah begitu, dia tetap memandu dengan laju. Sungguh, dia amat menyesali apa yang berlaku. Apakandaya, nasi sudah menjadi bubur. Hanya satu harapannya kini, wanita itu mampu diselamatkan. Kata polis yang menyoalnya sebentar tadi, wanita itu seorang guru. Tidak pula diberitahu namanya. Cuma polis tadi mengatakan yang keluarga wanita itu sudah dihubungi.
     “Doktor, macam mana wanita yang baru accident? Dia tak apa-apa ke?” Haziq bertanya pada doktor yang baru keluar dari bilik rawatan kecemasan.
     “Dia dah stabil. Cuma hilang banyak darah. Masalahnya, hospital ni tak banyak bekalan darah jenis tu. Jenis O+,” doktor tersebut menerangkan panjang lebar. Tidak menarik nafas langsung, pendek kata, bagaikan tidak bernoktah. Dia sebenarnya malas untuk menjawab pertanyaan yang bertali arus.Jadi biarlah dia berikan jawapan yang lengkap.
     “Darah saya O+,”  Haziq menawarkan bantuan. Serasa hanya itu dapat dibuat sebagai tanda meminta maaf.
     “So… awak pergi bahagian derma darahlah. Nanti bahagian sana akan make sure semua ok ke tak. Saya kena pergi jenguk patient lain ni. Ok ye…”  Doktor itu segera berlalu. Dalam fikirannya terbayang pesakit kecemasan yang banyak hari ini. Entah kenapa sejak akhir-akhir ni terlalu banyak kemalangan berlaku.
     Haziq segera ke bahagian derma darah. Di hatinya terasa belas kepada wanita yang dilanggarnya. Wanita itu kelihatan terburu-buru benar.
     Tiba-tiba fikiran nakal menyerbu ke mindanya. Wanita tadi memang menarik. Walau dalam keadaan luka begitu wajah yang mungil dan bersih itu masih terserlah. Teringat Haziq akan kata ibunya, wajah seperti itu wajah orang yang sembahyang. Agaknya wanita itu sudahkah ada yang punya? Harapnya dapatlah dia mengenali wanita itu. Mungkin dapat juga dia memenuhi impian ibunya untuk menerima menantu tahun ini. Tambahan, ibunya mencari cikgu. Harapnya, inilah bidadari yang ditunggu sejak dahulu. Bidadari yang telah dilanggarnya!!!
     “ Encik Haziq!! Encik Haziq!”






BAB (VI)

SYED Ahmad telah banyak kali bertanya pada jururawat yang bertugas di kaunter pertanyaan itu. Soalannya sama; bila dia dapat melawat anaknya? Sudah hampir dua jam dia duduk dan mundar-mandir di sini. Satu jawapan pun tidak diperolehinya. Terukkah Fatihah?
     Selepas sembahyang zohor, dia menanti Fatihah yang semalam memaklumkannya akan pulang petang ini. Namun sehingga jam tiga bayang Fatihah pun tidak kelihatan. Biasanya Fatihah akan bertolak selepas tamat persekolahan. Kalau mengikut pemanduan biasa, dua jam lebih sudah sampai ke rumahnya di Kuantan itu. Kerana bimbang, dia menyuruh isterinya mendail nombor telefon anaknya sehingga berjaya. Setiap kali hanya masuk message box. Ternyata naluri seorang ayah tidak pernah silap.
     Tanpa berlengah, dia bergegas ke Hospital Dungun ini. Dari tadi tiada satu pun berita tentang anaknya diperolehi. Apatahlagi dapat bertemu.
     “Macamana nurse. Tak boleh lagi ke berjumpa anak saya?”
     “Siapa namanya pak cik?” Jururawat muda itu bertanya. Jururawat yang agak berumur tadi sudah pun berakhir syifnya, digantikan oleh jururawat muda yang manis.
     “ Syarifah Nur Fatihah Syed Ahmad.”
     “ Dia masuk wad mana?”
     “Kecemasan. Dia kemalangan, pukul 12 lebih tadi,” Syed Ahmad menerangkan. Di hatinya berdoa jururawat ini mampu merungkai persoalan di hatinya.
     “Maaflah pak cik. Orang yang masuk wad kecemasan memang takde lagi namanya kat sini. Tadi tak silap ada dua kes kemalangan. Satu cedera parah yang satu lagi, meninggal.”
     Kata-kata dari jururawat yang agak ramah ini meninggalkan debar di hati Syed Ahmad. Janganlah Fatihah meninggalkan dunia sebelumnya.
     “Emmm… pak cik. Cool down dulu. Biar saya telefonkan bahagian kecemasan,” jururawat itu menerangkan apabila melihat kerterlanjuran katanya yang membuatkan lelaki itu terkejut. Segera dia mendail wad kecemasan dan mendapatkan maklumat tentang Fatihah. Takut juga dia kalau dia menyebabkan pesakit di wad kecemasan bertambah. Manalah tahu, lelaki itu menghidap sakit jantung. “ Pak cik, anak pak cik tak apa-apa. Dia sekarang dihantar ke ICU. Kata doktor, sebagai pemantauan sehingga esok. Kalau esok dia takde apa-apa, dia boleh masuk wad biasa,” perlahan-lahan dia menerangkan maklumat yang diperolehinya tadi. Kebimbangan akan tahap kesihatan pak cik itu, membuatkan dia lebih berhati-hati.
     Syed Ahmad menguntum senyum. Bersyukur dia pada Allah kerana menukarkan jururawat yang sudah berumur tadi kepada jururawat yang muda ini. Menukarkan jurarawat yang mencuka tadi kepada yang manis ini.
     “Terima kasih ya…”

*********************************************************

FATIHAH sudah membuka mata. Kerana sedikit silau, dia menutup matanya kembali.
     “Ati…..”
     Fatihah mendengar lirih suara ibunya. Biarpun matanya sudah ditutup, namun, suara yang didengar sejak dalam kandungan tidak perlu diteka. Sangat dicamnya.
     “Ummi, silaulah. Tolong tutupkan tingkap,” Fatihah memohon pertolongan ibunya. Ibunya tersenyum. Gembira anaknya telah sedar. Rasa sedikit lucu kerana silau itu bukan disebabkan tingkap yang terbuka, tetapi lampu yang betul-betul di atas kepalanya. Wad ICU itu sedikit sahaja penghuninya. Hanya Fatihah dan seorang pesakit barah buah dada yang khabarnya nazak. Suami pesakit barah itu baru sahaja keluar menunaikan solat.
     “Ati di mana ni ummi?” Agak lemah Fatihah menuturkan kata. Ingatannya agak kabur tentang apa yang berlaku. Seingatnya, dia sedang dalam perjalanan ke KMC.
     “Hospital ni.”
     Fatihah cuba bangun. Lemah dan sengal seluruh tubuh. Apabila dia menggerakkan tangan, baru dia sedar ia berbalut.
     “Tangan Ati tu patah. Janganlah gerak sangat!” Ibu Fatihah membetulkan bantal. Belas hati melihat anaknya begini.
     “Abah mana?” Melilau mata Fatihah mencari Syed Ahmad.
     Syarifah Jamilah sedar, anak sulungnya itu memang rapat dengan Syed Ahmad. Dulu, ketika kecil, orang memanggil Fatihah ‘ekor Syed Ahmad’. Syarifah Aminah tersenyum sendiri.
     “Ummi ni, orang tanyakan abah, dia senyum pulak.”
     “Yelah, kamu  ni, pantang nampak ummi, tanya abah je.”
     “Takkan nak tanya mana ummi pulak. Mestilah tanya mana orang yang tak ada. Kalau nampak abah, Ati tanya mana ummi,” petah sahaja Fatihah membela diri. Kalau sekadar mendengar suaranya, pasti sesiapa pun tidak menyangka dia baru sedar dari kemalangan.
     “Eh, tadi masa bangun macam orang sakit. Ni macam orang sihat je menjawab. Cam tu, tak jadi ummi nak tidur sini malam ni,” Syarifah Jamilah sengaja mengacah. Walau sebenarnya tidak seminit pun sanggup meninggalkan Fatihah.
     “Alah ummi, mulut tak sakit. Tangan, kaki, badan sakitlah.”
     Syarifah Jamilah sekadar menggeleng. Dari kecil, Fatihah memang petah berbicara. Wakil pidato sehingga ke peringkat negeri dan pendebat sekolah. Tetapi, walaupun Fatihah suka berdebat, dia tidak pernah membantah kata-katanya dan suami.
     “Ummi tak jawab soalan lagi, abah mana da….”
     “Kat luar tu, borak dengan dengan budak laki yang langgar Ati…. Sapa ye nama budak tu? Emmmm Faisal kut.”
     Fatihah sedikit terkejut. Jam di bilik ICU itu menunjukkan angka dua belas. Sanggup pemuda itu menunggunya.
     “Ummi, kalau gini, macamana nak sembahyang?”
     Syarifah Jamilah rasa berbangga dengan Fatihah kerana dia tidak meninggalkan solat walau apa jua keadaan. Tidak rugi rasanya Syarifah Jamilah melepaskan jawatannya di sebuah syarikat swasta kalau hasilnya anak yang solehah.
     “Subhanallah, takkan tak ingat. Sembahyang duduk boleh, baring boleh.”
     “Ambil wudu’?” Fatihah menunjukkan tangan dan kaki yang berbalut. Sudah tentu air tidak dapat sampai ke semua anggota wudu’.
     “Mana yang sampaila. Tak ingat ke Islam tu mudah.”
       “Baik ustazah,” Fatihah tersenyum. Sengaja meniru gaya percakapan watak kartun Sin Can yang selalu ditonton bersama adiknya. Sebenarnya Fatihah merasa badannya amat sakit, tetapi semua dipendam sahaja. Bimbang ibunya akan menjadi terlalu risau.
     “Tiga kali solat je kan…. Ati tinggal?”
     “Tiga apanya, dah dua hari kamu pengsan! Semalam empat, hari ni, empat! Semuanya lapanlah. Nanti dah sihat jangan lupa ganti,”
     Terkejut Fatihah mendengar kata-kata ibunya. Rupanya dia sudah pengsan agak lama. Sangkanya dia hanya pengsan satu hari sahaja.
     “Ati… Jangan lupa bersyukur pada Allah… Kalau tengok kereta kamu…..” Syarifah Jamilah menangis…. Beremosi. Terbayang kereta yang dilihatnya di balai polis. Kereta itu rasanya sudah tidak boleh digunakan lagi, seakan dilanggar steamroll. Semalam, ketika Fatihah tidak sedarkan diri, Syarifah Jamilah tidak berhenti berdoa akan keselamatan dan kesejahteraan anaknya.
     “Ummi……”

No comments:

Post a Comment