sekadar bicara hati

tempat ku melakar sejuta rasa.... andai bisa dan masih ada masa....:)

Thursday, July 29, 2010

Bab XI - FATIHAH ingin mengadakan intipan hari ini


BAB (XI)

FATIHAH ingin mengadakan intipan hari ini. Hatinya bertambah sasau. Bunga yang dikirim terlalu misteri. Mula-mula tiga kuntum bunga ros merah, kemudian hari berikutnya empat kuntum bunga ros kuning pula. Hari ketiga dia menerima tiga kuntum lagi dan  semalam sekuntum. Apakah pengirimnya terlalu takut untuk dikenali? Adakah pelajar yang dilanggarnya kelmarin?
     Pagi itu, Fatihah datang awal dari biasa. Selalunya pukul tujuh suku baru Fatihah tiba di sekolah. Hari ini, belum pukul tujuh, Fatihah sudah tiba. Manalah tahu, pengirim bunga itu dapat dikesan. Fatihah melihat di atas mejanya tiada lagi bunga yang diletakkan. Dia menunggu di meja kosong yang agak tersorok, kepunyaan seorang cikgu yang telah berpindah.  Sesekali timbul perasaan geli hati kerana hari ini dia seolah-olah bertindak sebagai penyiasat persendirian. Berbaju agak gelap dengan harapan tidak dilihat oleh pengirim misteri.
     Jam  tujuh pagi, Fatihah melihat kelibat seseorang. Lagaknya yang terhendap-hendap membuatkan Fatihah agak curiga. Pelajar itu meletakkan sesuatu di atas meja Fatihah. Sah! Orang ni. Fatihah segera menuju ke mejanya.
     “Boy! What are you doing here in the early morning?”
     “Errr…… I just……..”
     “Come…. Have a sit.” Fatihah mempelawa Fitri atau Boy duduk di kerusi sebelah meja Fatihah.
     “I’m sorry, I just want to give cikgu this.” Boy mengunjukkan sekeping kad buatan tangan dan sekuntum bunga ros yang kelihatan seperti baru dipetik. Mungkin dari taman botani sekolah.Kad itu bertulis Thank you 4 listening me.
     Fatihah menarik nafas. Takkan dia. Fatihah sekadar menerima huluran dari Fitri. Intipannya sudah berjayakah? Fitrikah orangnya? Tetapi bunga-bunga yang diterimanya itu digubah indah, bukan seperti yang dihulur Fitri. 
     Setelah mengucapkan terima kasih, Fatihah menghantar Fitri hingga ke pintu bilik guru. Sambil itu dia menasihatkan Fitri untuk belajar dengan tekun dan sabar menerima dugaan.
     Kembali sahaja ke mejanya, hati Fatihah berdegup kencang. Empat kuntum bunga ros digubah indah terhias di meja Fatihah. Lantas dia menoleh ke atas, merenung syiling. Batman manalah pula yang hantar bunga kat aku ni! Fatihah menggerutu sendiri.
     Fatihah bertanya juga pada rakan-rakan di sebelah mejanya. Namun semua jawapan hanyalah negatif.
     “Wah! Pelajar sekarang…… berani ya hantarin kembang sama bu guru. Ramei peminat mbak yu, ya,” Tiba-tiba Robie menegur dari tingkap bilik guru yang berdekatan dengan meja Fatihah.
     “Peminat apanya… budak tu saya kaunseling hari tu…. Nak ucap terima kasih la..”
     “Wah!  Udah tingkat besar pun masih lagi mahu bermanja dengan bu guru ya.”
     “Bukanlah, budak tu baru tingkatan satu.”
     “Tingkatan satu sudah bisa jadi pengawas ya?”
     “Pengawas ke yang bagi bunga ni?” Fatihah bertanya sambil menunjukkan bunga di atas mejanya.
     “Lho…. Mbak yu, tidak nampak ya…. a big student you know, maybe form five. Aduh! pelajarnya ganteng sih.  Ala-ala Shah Rukh Khan.”
     “Iye ke…..” Fatihah teringat pelajar yang berlanggar denggannya ketika keluar dari bilik kaunseling tempoh hari. Wajahnya memang seperti Shah Rukh Khan sedikit.
     “Balkish, mana aku boleh jumpa Hazri?” Tanya Fatihah pada cikgu Balkish apabila nampak sahaja kelibat wanita itu.
     “Dia selalu lepak bilik pengawas. Kenapa? Apa hal kau cari dia?” Sebagai salah seorang ahli lembaga disiplin pelajar, cikgu Balkish memang sangat biasa berurusan dengan mana-mana pengawas. 
     “something….. Emmm….nothing.”
     “Whateverlah.”
     Waktu rehat pagi itu, Fatihah ke bilik pengawas. Ingin dia bertanya sendiri dengan Hazri. Ingin benar dia mencari jawapan pada segala persoalan yang sudah seminggu bermain di kepalanya.
     “Hazri, boleh kita bercakap?”
     “Ya, cikgu.. Ada apa?”
     Fatihah melangkah masuk ke bilik pengawas dengan kepala yang sedikit serabut.  Ada apa dengan bunga? Cintakah?
     “Hazri… Hazri ambil SPM tahun ni,kan? Hazri patutnya tumpukan perhatian sepenuhnya dalam pelajaran. Tak patut terlibat dalam benda-benda yang boleh mengganggu pelajaran.”
     Hazri mengangguk sambil tersenyum. Sinis! Dia tertawa di hujung senyumannya, membuatkan Fatihah tertanya, ada apa dalam hatinya?
     “I am serious, ok?”
     “Cikgu ni… datang pasal bunga tu ke?”
     Fatihah mengangguk, pipinya merona merah kerana malu, gagal mengawal perasaan.
     “Saya rasa… Cikgu ni dah salah faham… Tapi tak apalah, petang ni lepas habis kelas, saya janji… Saya akan jelaskan segala-galanya.”
     “Haaa???”

*********************************************************

Menapak keluar saja dari bilik guru, hati Fatihah dihuni perasaan yang saling berbaur. Rasa debar kerana persoalan yang seminggu menghantui fikirannya akan terjawab. Takut jika jawapan itu hanya mengundang masalah lain pula. Rasa malu untuk bertemu Hazri kerana telahannya yang melulu. Tak patut dia berfikir Hazri akan jatuh cinta dengannya walaupun bukan mustahil.
     “Cikgu…” Hazri telah sedia menanti di depan pintu bilik guru. Pelajar tingkatan lima itu memang menepati janji.
     “Emm…” Fatihah tersenyum. Menahan gusar di dada.
     “Ikut saya boleh tak?”
     “Ke mana?”
     “Nanti saya tunjukkan jawapan yang cikgu nak. Takkan cikgu tak percaya kat saya kot?”
     “Bukan tak percaya…… tapi kat sini pun boleh cakap kan?”
     “Ya…. Tapi jawapannya tak life.”
     “Life?”  Fatihah tambah bingung. Hazri berteka-teki pula.
      “Ala…. Ikut aja la cikgu. Lagipun kan ramai orang. Apa sangat la saya boleh buat kat cikgu.” Hazri tertawa.
     “Ramai yang nampak pun, kalau nak jadi, jadi juga!!”
     Hazri tersenyum nakal. Lucu melihat ketakutan yang bertamu di mata Fatihah.
     “Jomlah cikgu……. Nanti cikgu lain tahu, lagi malu.”
     “Tak kisahlah. Awak bawak yang life tu kat sini.” Fatihah berkeras. Bimbang kerana dia tidak tahu apa  yang bakal berlaku jika dia mengikuti pelajar itu.
     “Tapi cikgu, nanti orang lain tengok, malu cikgu, cikgu dah fikir abis-abis ke?”
     “Takpe…takpe. Yang penting selamat. Apa benda life yang awak nak tunjuk kat saya ni? Cepatlah saya tunggu kat sini.”
     “Okay… but don’t blame me….. cikgu yang nak.”
     Sepuluh minit menanti, bagai sepuluh tahun dalam debaran. Fatihah mundar-mandir di sekitar bilik guru sehingga mengundang tanda tanya guru-guru lain yang masih ada di situ.
     “Ini la…. Jawapannya, cikgu. Life kan?” Tiba-tiba Hazri datang bersama seorang lelaki.
     “Awak ?”

Bab X - Entah kenapa sunyi subuh itu bagaikan melabuhkan tirai kesabaran Syed Jabar

BAB (X)

SUASANA hening pagi itu. Entah kenapa sunyi subuh itu bagaikan melabuhkan tirai kesabaran Syed Jabar. Menutup pintu kemarahan yang telah berminggu terbuka. Sunyi subuh itu membuatkan Syed Jabar berfikir akan punca kemarahannya. Adakah kerana Farihin mungkir janji atau kerana Farihin telah menidakkan kewujudannya dalam keputusan yang diambil ?
     Setelah solat subuh, Syed Jabar kembali ke katil. Cuba bertenang dan berfikir secara rasional dengan neraca akal dan iman. Di manakah silap anaknya sehingga emosi mengatasi akal?
     Segala kenangan bagai berlayar di mata. Segala sifat dan kelakuan Farihin ditimbangnya dalam-dalam. Syed Jabar  mengakui inilah kali pertama Farihin melawan katanya.  Ketika dia ingin memilih jurusan  di universiti pun, Syed Jabar masih campur tangan.  Kerana mengikut kata Syed Jabar, Farihin memilih untuk ke bidang agama walaupun dia berminat untuk menjadi jurutera. Begitu juga ketika Farihin ingin memilih universiti, sekali lagi Syed Jabar yang menentukan.  Farihin menurut tanpa membantah. Sebelum dia mengisi borang, Farihin bertanya dulu dengan Syed Jabar.  Syed Jabar merasa sepanjang hidup Farihin, dia yang menentukan segalanya.
    “Abang…” Syarifah Aminah muncul entah dari mana menegur Syed Jabar yang bermenung. Teguran itu, memadam segala kisah yang berlegar di matanya.
     “Awak rasa saya melampau ke?”
     “Emmm…” Syarifah Aminah teragak-agak untuk mengeluarkan pendapat. Jarang suaminya meminta pendapat. Selalunya hanya arahan yang meniti bibir Syed Jabar.
     “Awak ingat tak masa In nak masuk UIA? Dia nak ambik matriks engeneering, saya suruh juga dia ambil Ilmu Wahyu. Dia diam je. Sepatah pun tak menjawab.”
     Syarifah Aminah mengangguk. Tentu dia ingat, kerana biasanya, Farihin akan pergi kepadanya meluah rasa hati. Farihin walaupun bersetuju, memberontak dalam diam.
     “Masa dia dapat tawaran masuk MRSM Kuala Pilah lepas PMR, saya suruh dia terima tawaran KISAS walaupun dia minat kaji angkasa. Sekarang baru saya dapat fikir, dah lama saya hancurkan impian dia kan?”
     Syarifah Aminah ternganga. Begitu cepat Allah makbulkan doanya. Begitu cepat Allah menumbuhkan semula kasih sayang dalam hati Syed Jabar. Hatinya berbunga. Mungkin ini titik perubahan suaminya. Diam-diam dipanjatkan kesyukuran. Teringat ketika Farihin selepas PMR dia mahu menjadi angkasawan atau jurutera bahagian angkasa. Kerana tak dapat meneruskan pelajarannya di MRSM, Farihin berusaha untuk menubuhkan persatuan Falak Syarie, sebuah persatuan kaji bintang yang mengikut cara Islam,  di KISAS.
     “Saya ni bukan apa. Saya nak dia jadi ulama. Bukannya tak boleh jadi engeneer, tapi ilmu agama mesti kuat dulu. Zaman sekarang ni ulama’ susah nak cari yang betul-betul nak tegakkan Islam. Banyak yang ikut sedap je. Masa dia jadi Presiden PMI tu, saya bangga betul! Tapi saya malu nak tunjuk. Takut dia besar kepala.” Syed Jabar berhenti. Melihat wajah isterinya. Mengesan emosi wanita itu.
     “Awak kenapa tak kata apa-apa? Sejak kita kahwin sampai sekarang, awak selalu ikut je apa saya kata. Awak diam je.”
     “Abang, seingat saya, tak de pun yang awak minta saya ke,  Farihin ke buat benda yang salah. Yang langgar hukum agama. Dah tu, buat apa saya bantah. Mungkin, Farihin sekarang minta peluang nak tentukan hidup dia. Cara dia yang mungkin tak betul. Maafkanla dia, bang.”
     Syed Jabar terdiam. Memang isteri seperti Syarifah Aminah amat sukar dicari sekarang. Yang sabar dan menurut segala kerenah suami. Yang bijak membaca emosi suami. Syed Jabar yakin jika orang lain, pastilah rumahtangga mereka selalu bergoyang. Memang benarlah, seindah-indah perhiasan dunia adalah wanita soleha. Yang akan mewujudkan syurga di dalam rumahtangga.
     “Minah, saya keluar dari hospital nanti, awak panggil In balik. Kita buat kenduri kahwin yang sempurna. Tak nak la orang kata kita tak sayang anak.”
     Syarifah Aminah tersenyum. Inilah mungkin ganjaran yang Allah beri untuk mereka yang sabar.
     “Assalamualaikum….”
     Syarifah Aminah dan Syed Jabar menoleh. Wajah putih bersih yang tersirna di balik pintu yang terbuka direnung. Senyuman yang menguntum dibalas.
     “Waalaikumussalam….”

Bab IX

BAB (IX)

BUNGA ros kuning yang menghiasi meja Fatihah pagi ini benar-benar meninggalkan tanda tanya. Semalam ketika dia datang ke bilik guru itu pada hari pertama dia kembali mengajar selepas bercuti lama kerana kemalangan, tiga kuntum bunga ros yang dikarang dengan bunga-bunga kecil diletak begitu sahaja di atas meja. Hari ini empat kuntum bunga ros kuning pula tesusun indah bersama bunga-bunga kecil kelihatan segar di atas meja gurunya. Siapa yang menghantar bunga? Semalam dia menyangka anak muridnya yang memberikan bunga ros merah itu.  Namun kehadiran bunga ros kuning pagi ini membuatkan Fatihah sangsi akan telahannya semalam. Untuk apa pula anak muridnya memberikan bunga ros kuning? Ingin meminta maaf?
     “Aduh, mbak yu. Usah direnung kembangnya… renung saja pada tuan yang memberinya…..” Robie, jejaka Indonesia berusia 28 tahun yang bekerja sebagai tukang kebun di sekolah itu mengusik. Jejaka itu khabarnya mempunyai ijazah dalam bidang Sastera Inggeris yang kebetulan sama dengan ijazah yang diperolehi Fatihah, tetapi  tidak dapat memperolehi pekerjaan di negaranya. Fatihah memang selalu bertukar pandangan dalam bidang Bahasa Inggeris dengan jejaka itu. Sesekali seronok juga bertukar pandangan dengan tukang kebun.
     “Aku sih enggak ngerti toh siapa yang mengantarin,” Fatihah membalas kata-kata Robie.  Sengaja Fatihah mengajuk loghat jejaka itu.
     “Life is not always on a bed of roses,” Robie sengaja mengeluarkan peribahasa Inggeris. Kadangkala kelihatan dia seolah-olah gian untuk menggunakan Bahasa Inggeris. Mungkin dia tiada teman untuk berbicara dalam bahasa itu. Kerana itu, Robie gemar berborak dengan Fatihah.
     “Sakit lah badan tidur atas bunga ros. Bunga tu kan berduri. Why don‘t we change it with lavender?It has the sense of aromatheraphy.
     “Lho…. Fatihah. Usah begitu lho cikgu. Nanti pelajarnya bingung.”
     “ Tak pelah. Diorang bukan dengar.”
     “Don’t you remember, walls have ears,” Robie memang arif dengan peribahasa Inggeris. Kadangkala ada juga peribahasa yang disebut oleh Robie tidak pernah didengarnya.
     Fatihah hanya tersengih. Kehilangan kata-kata. Seronok mengusik Robie. Kasihan juga pada jejaka itu. Sangat cerdik tetapi tidak berpeluang untuk mengembangkan ilmunya. Sesekali tersinggah juga pandangan serong guru-guru lain.  Mungkin takut Fatihah tersangkut dengan Mamat Indon !!!
     “Fatihah, time rehat nanti ada budak minta kaunseling. Anak murid saya. Kelas 1 Alfa. Dari masuk sekolah sampai sekarang duk menung aje. Homesick agaknya,” Cikgu Balkish tiba-tiba muncul di hadapan Fatihah. Memang Fatihah antara guru yang diminta untuk memberikan kaunseling pada pelajar memandangkan kaunselor sekolah telah berpindah.
     “Emmm….. Biasalah….jumpa nanti waktu balik le.. Rehat nanti nak makan… lapar ni…”

*********************************************************

DARI tadi Fatihah menanti, namun, pelajar yang bernama Fitri yang telah membuat temujanji dengannya untuk sesi kaunseling masih belum tiba.  Bilik kaunseling yang hanya dihuni olehnya ketika itu terasa begitu hening. Sesekali Fatihah menjenguk ke kaunter pendaftaran.  Mana budak ni? Gerutunya dalam hati. Hawa panas dalam bilik itu menambah lagi kepanasan hatinya.
     “Cikgu Fatihah…… ni dia budaknya. Maafle lambat sikit. Budaknya tak nak datang. Kena teman, baru nak datang,” Cikgu Balkish yang tadi meminta bantuannya untuk mengadakan sesi kaunseling, datang bersama pelajar tersebut.  Fatihah mengangguk pada Cikgu Balkish, menandakan dia ingin memulakan sesi kaunseling.
     “Yes… Fitri….cikgu nak panggil apa ye….” Fatihah sedikit terkasima. Sangkanya pelajar itu seorang pelajar yang kecil. Namun yang tiba di hadapannya ini hampir sama tinggi dengan Fatihah. Takkan homesick kot….
     “Boy…”
     Hati Fatihah bagai digeletek, namun, tidak ditunjukkan pada wajahnya yang mesra. Besar panjang…. Panggil boy! Hatinya berkata.
     “Boy tinggilah, macam orang putih… Parent ada yang orang putih ke?” Fatihah sengaja bertanya sebagai ice breaker.
     “Not my mom and dad… My grandpa is a Sweedish!”
     Sabo je lah… hidung tak adalah mancung mana… Hati Fatihah berkata spontan. Entah kenapa hatinya sedikit goyah untuk mengadakan sesi kaunseling. Nampaknya, sesi kali ini agak sukar memandangkan pelajar ini tidak nampak usaha untuk memberikan kerjasama. “So… You  must be good in English..”
     Fitri hanya diam. Matanya meliar ke kanan dan ke kiri termasuk hadapan dan belakang. Tiba-tiba dia bersuara, “Yerkkk… Malaysians are dirty. Everywhere is so smelly…”
     Tanpa memikir kesannya, marah Fatihah tiba-tiba meledak, “What???!!! So, where do do you think you live before?!”
     London, Singapore and last Johore Baru..Mummy is so stupid leave me here! Does her brain gets out of her head? I can‘t live in this messy country. Johore Baru is better than here! I hate kampung! Worst! She wants to get marry with some Malay, fine! Why leave me here?!”
     Fatihah tidak menyangka, jerat yang tidak sengaja dipasangnya untuk mengorek rahsia Fitri, mendatangkan hasil. Fitri menangis.
     “So stupid! Bullshit! Why dad dump me here? They get devorce… I‘m … I‘m….”  Terhenti kata-kata Fitri di situ. Mungkin dia telah menyedari, dia sedang membuka pekung di dada.
     “No……. I’m not supposed to tell you.” Fitri tiba-tiba bangun lalu meninggalkan Fatihah tanpa pamitan. Cikgu Balkish yang menanti di ruang rehat bilik kaunseling itu terpinga-pinga. Fatihah cuba mengejar tapi tanpa sedar dia terlanggar seorang pelajar tingkatan lima di luar bilik kaunseling. Habis berterabur barang yang dibawa pelajar itu.
     “Bunga untuk siapa ni?”  kata Fatihah apabila melihat barang yang bertaburan itu merupakan beberapa kuntum bunga yang belum dikarang.
     Cikgu Balkish yang berada di belakang Fatihah menegur pelajar tadi. “Isy… kamu ni, Hazri. Jalanlah baik-baik. Habis terlanggar cikgu ni. Mentang-mentang le dia kecik….”
     Palajar yang bernama Hazri itu hanya tunduk lalu meminta maaf daripada Fatihah.
     “Takdelah Balkish. Aku yang salah tadi… nak kejar si Boy sampai tak perasan dia ni. Maafkan cikgu ye……”
     “Takpe cikgu…..takpe….” kata pelajar tadi lalu tergesa pergi.
     “Ati, dengan budak kita tak boleh minta maaf, naik lemak dia. Kita taklah boleh tunjuk sangat mesra kasih sayang.”
     “Kau pernah dengar tak kata-kata ni…Man la yarham la yurham…..”
     “Apa tu…”
     “Nanti ko tanyala kat ustaz Sabri … mesti dia tahu.”
     “Whatever la….”

Bab VIII

BAB (VIII)

HATI berdebar, badan menggeletar. Bagaikan pesalah menanti hukuman. Soleha sejak tadi mententeramkan dirinya. Berjumpa ibu bapa mentua rupanya lebih seksa daripada menunggu keputusan peperiksaan. Kadangkala terasa ingin luruh jantungnya.
     “Abang percaya, ayah dan ibu terima Soleha,” kata-kata Farihin ditelannya sahaja. Bukan tidak percaya, tetapi kesalahan mereka berkahwin tanpa pengetahuan keluarga bukan mudah dipadam daripada lipatan kenangan. Tambahan lagi, ibu dan ayah Farihin tidak pernah bertemu dengannya sebelum ini.
     “Mudah-mudahan Allah buka hati mereka,” sekadar itu kata Soleha. Selalunya, mereka senang bercerita. Namun, perjalanan lebih tiga jam itu tiada bicara ceria yang menghiasi.
     “Kita dah sampai. I just want you to remember, whatever it is, I love you soo much,” Farihin meramas tangan Soleha. Dikucup tangan isterinya. Mengharapkan Soleha menyelami isi hatinya. Soleha mengangguk lalu mengucup kembali tangan Farihin lama.
     Farihin teringat Fatihah ketika ini. Betapa baiknya gadis itu. Sanggup dia menelefonnya memberitahu tentang keadaan kesihatan ayahnya. Farihin rasa tambah bersalah apabila mendengar berita kemalangan Fatihah ketika ingin menjenguk Syed Jabar. Susah benarkah ingin mendakap bahagia? Perlukah kebahagiaan mengorbankan insan-insan yang tersayang?
     “Abang…..” Panggilan Soleha mengembalikannya pada kenyataan. Kembali dia menggapai tangan isterinya. Mencari kekuatan pada genggaman tangan itu.
     “Jom…”
     Soleha rasa tidak kuat. Kakinya terasa lemah untuk melangkah. Bagai banduan ke bilik hukuman gantung. Puas dia membaca doa penguat hati. Tetapi hati masih gugup menghadapi kenyataan.
     “La takhaf wa la tahzan. Innallaha ma’ana,
     “Assalamualaikum…” Farihin membuka pintu bilik di mana Syed Jabar ditempatkan. Seorang lelaki terbujur dengan wayar berselirat di tubuhnya. Seorang wanita duduk di sisi lelaki itu. “Ibu…” Farihin menyalami wanita itu. Syarifah Aminah menyambut salam sambil memeluk anaknya. Sedih melihat permata hati. Air mata entah kenapa mudah benar menuruni kelopak mata, membasahi baju Farihin.
     “Sudah… Tak usah awak bazirkan air mata awak pada budak ‘bertuah’ ni!” Suara Syed Jabar melengking. Amarahnya bagai gunung berapi. Terus meletup tanpa sebarang amaran. Walaupunbegitu, dia masih menjaga kata-katanya. Bimbang tersumpah. Dia beristighfar menyejukkan hati. Amarahnya meluap kembali apabila melihat Soleha masuk ke bilik itu.
     “Tapi bang…”
     “Farihin… Kau pergi balik! Ayah dan ibu masih tak dapat terima apa yang kau buat…. Tak kira apa sebab sekalipun… Kau nak buat apa pun, kau tak patut lupakan ibu dan ayah!”
     Farihin tahu, kalau ayahnya sudah memanggil ‘Farihin’ bermakna amarahnya sudah memuncak. Tidak perlu dia berkata apa-apa lagi. Namun Farihin tidak peduli, dia tetap membatu di situ. Tidak berganjak. Ayah dan ibu perlu diberikan penjelasan.
     “Ayah, dengar dulu apa saya nak cakap… Soleha dalam bahaya. Dia nak dibunuh dengan keluarga dia kalau masuk Islam,” tenang dan jelas tanpa tersangkut Farihin menerangkan. Biji butirnya telah dikarang sejak dia di Kuala Lumpur lagi.
     “Habis… Kau nak jadi Superman, Batman? Nak jadi hero selamatkan orang? Farihin, negara kita ada undang-undang! Bukan senang-senang je nak bunuh orang. Bagitau polis la. Bukan pada Tok Kadi!”
     “Tapi ayah… Saya ikhlas nak tolong dia. Saya ikhlas nak lindung dia. Saya sayangkan dia, ayah… Saya cintakan dia.”
     “Sayang?!… Cinta?!… Pergi berambuslah! Aku tak nak tengok muka kau lagi! Jangan kau datang lagi kat sini. Teruslah jadi hero!”
      Syarifah Aminah menarik tangan Farihin. Dia tahu kalau dibiarkan amarah suaminya berlanjutan, sakit jantungnya akan bertambah teruk. Dia mengajak Farihin keluar. Soleha sekadar mengekor. Masih berdebar dengan drama keluarga yang disajikan sebentar tadi.
     “In, dengar cakap ibu ni. Jangan datang sini buat sementara ni. Ibu tak mahu ayah In bertambah teruk. Insya Allah… ibu pujuk dia. In doakan je lah ye… ”
     Farihin mengangguk sambil menarik Soleha ke sisinya, “Ibu, ni Soleha…..”
     “Manis ya… Patutlah…” Syarifah Aminah merenung wajah Soleha. Hatinya terasa sejuk. Wajah sebersih titisan embun,  perlukah dibiar  terus menjamah derita? Entah kenapa Syarifah Aminah jatuh kasih memandang wajah menantunya.
     “Ibu, In… terpaksa kahwin dengan Soleha cepat-cepat sebab dia kena ugut dengan keluarganya. Banyak kali orang ugut dia dengan telefon, surat layang pasal dia masuk Islam. In.. sayangkan dia sangat, In tak nak apa-apa jadi pada dia. In..” Farihin tak mampu berkata lagi. Air matanya hampir menitis apabila tangan Syarifah Aminah memegang erat tangannya.
     “Ibu faham, In….”

Bab VII

BAB (VII)

SUDAH seminggu Fatihah keluar dari hospital. Namun dia masih mengambil cuti. Sengaja dia mengambil cuti sebulan tanpa gaji. Badannya masih lemah lagi biarpun luka jahitan dan balutan sudah tiada. Syarifah Jamilah masih lagi setia merawat anaknya di rumah sewa Fatihah di Dungun. Jauh rasanya ingin pulang ke Kuantan.
     “Ati, mari makan.”
     “Ya, ummi,” dia duduk berseorangan sahaja di rumah sewa ini. Tujuannya, ingin mengelakkan masalah dengan teman serumah. Tambahan lagi, kebanyakan kawan-kawan di sekolah sudah berkahwin. Tiada siapa yang dapat dijadikan teman serumah. Ada juga pengetua menawarkannya menjadi warden, namun dia menolak. Takut komitmen itu mengganggu waktu menjenguk ummi dan abahnya.
     “Wah, banyaknya lauk!” Fatihah memeluk umminya dari belakang. Hampir terlepas sudu di tangan wanita itu.
     “Allahhu Akbar. Bertuah betul budak ni! Terkejut ummi tahu? Dah basuh tangan belum?” Marah Syarifah Jamilah apabila Fatihah mencuit sedikit daging. Sejak kecil, dia mengajar anaknya bertertib di meja makan. Pantang baginya orang yang bermain-main dengan makanan.
     “Belum ummi…. Janganla marah,” Fatihah memegang tangan ibunya memohon kemaafan.
     “Dah le…. Pergi basuh tangan…. Kamu lupa ke… nanti budak Faisal tu nak datang rumah. Makan la dulu kita dua beranak. Nanti abah makan dengan dia. Takkan kamu nak makan dengan dia, kan?”
     “Baik ummi….” Fatihah menurut sahaja. Dia lantas kembali ke meja makan menghadap hidangan dengan penuh selera. Masak lemak cili api kegemarannya benar-benar membuka selera. Ditambah dengan daging bakar yang dicicah dengan air asam.
     “Emmmm sedapla ummi…. Lamanya ummi tak buat  masak lemak cili api.”
     “Manala boleh ummi masak,. Abah kau tak boleh makan. Gastrik.”
     “Patutlah abah sayang sangat kat ummi. Ummi ni, chef pun ye, nurse pun ye, secretary pun ye.”
     “Secretary apanya?”
     “Yela…. Tiap-tiap pagi abah nak pergi kerja, ummi mesti kata gini, ‘abang, fail dah bawak? Handset dah bawak?” Fatihah mengajuk cara ibunya bercakap setiap kali abanya mahu pergi ke tempat kerja. Mulutnya hingga terjuih-juih.
     Syarifah Jamilah hanya tertawa mendengar kata-kata Fatihah. Memang itulah yang setiap hari dilakukannya. Dia rasa puas begitu. Mengamalkan ilmu pengurusan yang dipelajari di universiti untuk dimanfaatkan pada keluarganya.
      “Ummi nak tanya sikit…. Ati kecewa tak, Abang In menikah dengan orang lain?” Entah kenapa soalan itu terus terpacul dari mulut Syarifah Jamilah setelah tawanya reda. Sudah lama soalan itu ingin diajukan Syarifah Jamilah. Baru kini dia merasa kesempatan itu ada. Fatihah diam. Menarik nafas. Mencari kekuatan.
     “Ati….nak tanya sikit,” Tiba-tiba Fatihah bersuara. Syarifah Jamilah mengerutkan dahi. Ingin memberi sepenuh perhatian pada biji butir kata-kata anaknya.
     “Abah…” Fatihah sengaja berjeda. Seronok melihat muka ibunya yang kelihatan serious.
     “Abah? Kenapa dengan abah? Apa kena mengena abah dengan Abang In?” Syarifah Jamilah begitu ingin mengetahui apa ada dalam hati anaknya sehingga dia memotong kata-kata Fatihah.
     “Abah… dah boleh makan masak lemak cili api dah ke?” Fatihah bertanya dengan slumber. Seolah-olah dia tidak terperangkap di dalam satu persoalan. Ibunya tanpa sedar hanya ternganga dan terkebil-kebil. Langsung tidak disangka, Fatihah hanya mempermainkannya walaupun persoalan itu memberat di kepala. Sebelum Syarifah Jamilah berkata apa-apa, Fatihah telah mengangkat punggung. Sempat tangan Syarifah Jamilah mencubit peha Fatihah. Melepas geram. Fatihah sekadar tertawa geli hati.
     “Assalamualaikum….  Apa cerita dua beranak ni? Sakan nampak…” Syed Ahmad tiba-tiba terjengul di muka pintu. Kelihatan seorang lelaki di belakangnya. Wajah lelaki itu dipalingkan ke arah jalan. Syarifah Jamilah mengangkat kening, menghantar isyarat bertanyakan siapa.
     “Haziq…” Separuh berbisik Syed Ahmad menjawab. Syarifah Jamilah mengerutkan dahi pula. Siapa pula Haziq ni? Fatihah ketika itu terburu-buru masuk ke  bilik memakai tudung. Mujurlah Syarifah Jamilah awal-awal lagi telah bersedia memakai tudung.
     “Haziq!” Syed Ahmad memanggil lelaki tadi.Lelaki itu memalingkan muka. Syarifah Jamilah tertawa geli hati. Lelaki yang dipanggil Haziq itu, rupanya Faisal, tetamu yang ditunggunya.
     “Faisal lah bang, bukan Haziq,” Syarifah Jamilah membetulkan. Setahunya lelaki itu mengenalkan namanya sebagai Faisal.
     “Haziqlah….Awak tu yang salah dengar…” Syed Ahmad cuba untuk meyakinkan Syarifah Jamilah.
     Fatihah keluar apabila mendengar pergaduhan kedua ibu bapanya. Tiba-tiba sahaja mereka berdua berbincang hangat.
     “Kenapa ni ummi, kecoh je?”
     “Abah Ati kata, nama budak yang langgar Ati tu Haziq, bukan Faisal ke?”
     Fatihah sekadar mengangkat bahu, tanda tidak tahu. “Lerrr ummi, tanyalah empunya diri… Abah, jemputlah dia masuk, semua dah settled.”
     “Haziq, marilah masuk…. Duk kat luar panas,” Syed Ahmad menjemput hormat. Lelaki itu menoleh. Hatinya berbunga riang. Pasti namanya Haziq!!!! Dia yakin kemenangan berpihak padanya.
     Buat pertama kali Fatihah melihat dengan jelas wajah lelaki itu. Tinggi juga orangnya. Wajahnya sederhana, tetapi agak berkarisma.
     “Assalamualaikum…” Haziq mengucap salam. Tertib orangnya pada pandangan Fatihah dan Syarifah Jamilah.
     “Waalaikumussalam… Masuklah, Faisal,” Syed Ahmad sedikat tertawa. Syarifah Jamilah masih lagi mempertahankan apa yang diyakininya. Syed Ahmad yakin… Sebentar tadi Haziq menoleh ketika namanya dipanggil.
     “Silalah duduk, nak,” Syarifah Jamilah sengaja menggantikan ‘nak’ pada nama lelaki itu. Bimbang memang dia tersalah dengar. Tentu malu.
     “Maaflah ye nak. Pak Cik nak tanya, nama penuh anak ni sapa?” Syed Ahmad sengaja bertanya. Bagai ingin mengesahkan kemenangannya.
     “Haziq Faisal, pak cik… Kenapa?”
     Syed Ahmad tidak semena-mena tertawa dengan kuat. Geli hati benar dia. Syarifah Jamilah dan Fatihah turut tertawa. Wajah Haziq terpinga-pinga.
     “Maaflah ye, Haziq. Ummi dan abah saya ni dah bertengkar pasal nama awak, abah kata Haziq, ummi kata Faisal. Tak sangka pulak dua-dua nama awak,” Fatihah menerangkan apabila melihat wajah Haziq yang terpinga-pinga.
     “Nama….?!”