sekadar bicara hati

tempat ku melakar sejuta rasa.... andai bisa dan masih ada masa....:)

Thursday, July 29, 2010

Bab VII

BAB (VII)

SUDAH seminggu Fatihah keluar dari hospital. Namun dia masih mengambil cuti. Sengaja dia mengambil cuti sebulan tanpa gaji. Badannya masih lemah lagi biarpun luka jahitan dan balutan sudah tiada. Syarifah Jamilah masih lagi setia merawat anaknya di rumah sewa Fatihah di Dungun. Jauh rasanya ingin pulang ke Kuantan.
     “Ati, mari makan.”
     “Ya, ummi,” dia duduk berseorangan sahaja di rumah sewa ini. Tujuannya, ingin mengelakkan masalah dengan teman serumah. Tambahan lagi, kebanyakan kawan-kawan di sekolah sudah berkahwin. Tiada siapa yang dapat dijadikan teman serumah. Ada juga pengetua menawarkannya menjadi warden, namun dia menolak. Takut komitmen itu mengganggu waktu menjenguk ummi dan abahnya.
     “Wah, banyaknya lauk!” Fatihah memeluk umminya dari belakang. Hampir terlepas sudu di tangan wanita itu.
     “Allahhu Akbar. Bertuah betul budak ni! Terkejut ummi tahu? Dah basuh tangan belum?” Marah Syarifah Jamilah apabila Fatihah mencuit sedikit daging. Sejak kecil, dia mengajar anaknya bertertib di meja makan. Pantang baginya orang yang bermain-main dengan makanan.
     “Belum ummi…. Janganla marah,” Fatihah memegang tangan ibunya memohon kemaafan.
     “Dah le…. Pergi basuh tangan…. Kamu lupa ke… nanti budak Faisal tu nak datang rumah. Makan la dulu kita dua beranak. Nanti abah makan dengan dia. Takkan kamu nak makan dengan dia, kan?”
     “Baik ummi….” Fatihah menurut sahaja. Dia lantas kembali ke meja makan menghadap hidangan dengan penuh selera. Masak lemak cili api kegemarannya benar-benar membuka selera. Ditambah dengan daging bakar yang dicicah dengan air asam.
     “Emmmm sedapla ummi…. Lamanya ummi tak buat  masak lemak cili api.”
     “Manala boleh ummi masak,. Abah kau tak boleh makan. Gastrik.”
     “Patutlah abah sayang sangat kat ummi. Ummi ni, chef pun ye, nurse pun ye, secretary pun ye.”
     “Secretary apanya?”
     “Yela…. Tiap-tiap pagi abah nak pergi kerja, ummi mesti kata gini, ‘abang, fail dah bawak? Handset dah bawak?” Fatihah mengajuk cara ibunya bercakap setiap kali abanya mahu pergi ke tempat kerja. Mulutnya hingga terjuih-juih.
     Syarifah Jamilah hanya tertawa mendengar kata-kata Fatihah. Memang itulah yang setiap hari dilakukannya. Dia rasa puas begitu. Mengamalkan ilmu pengurusan yang dipelajari di universiti untuk dimanfaatkan pada keluarganya.
      “Ummi nak tanya sikit…. Ati kecewa tak, Abang In menikah dengan orang lain?” Entah kenapa soalan itu terus terpacul dari mulut Syarifah Jamilah setelah tawanya reda. Sudah lama soalan itu ingin diajukan Syarifah Jamilah. Baru kini dia merasa kesempatan itu ada. Fatihah diam. Menarik nafas. Mencari kekuatan.
     “Ati….nak tanya sikit,” Tiba-tiba Fatihah bersuara. Syarifah Jamilah mengerutkan dahi. Ingin memberi sepenuh perhatian pada biji butir kata-kata anaknya.
     “Abah…” Fatihah sengaja berjeda. Seronok melihat muka ibunya yang kelihatan serious.
     “Abah? Kenapa dengan abah? Apa kena mengena abah dengan Abang In?” Syarifah Jamilah begitu ingin mengetahui apa ada dalam hati anaknya sehingga dia memotong kata-kata Fatihah.
     “Abah… dah boleh makan masak lemak cili api dah ke?” Fatihah bertanya dengan slumber. Seolah-olah dia tidak terperangkap di dalam satu persoalan. Ibunya tanpa sedar hanya ternganga dan terkebil-kebil. Langsung tidak disangka, Fatihah hanya mempermainkannya walaupun persoalan itu memberat di kepala. Sebelum Syarifah Jamilah berkata apa-apa, Fatihah telah mengangkat punggung. Sempat tangan Syarifah Jamilah mencubit peha Fatihah. Melepas geram. Fatihah sekadar tertawa geli hati.
     “Assalamualaikum….  Apa cerita dua beranak ni? Sakan nampak…” Syed Ahmad tiba-tiba terjengul di muka pintu. Kelihatan seorang lelaki di belakangnya. Wajah lelaki itu dipalingkan ke arah jalan. Syarifah Jamilah mengangkat kening, menghantar isyarat bertanyakan siapa.
     “Haziq…” Separuh berbisik Syed Ahmad menjawab. Syarifah Jamilah mengerutkan dahi pula. Siapa pula Haziq ni? Fatihah ketika itu terburu-buru masuk ke  bilik memakai tudung. Mujurlah Syarifah Jamilah awal-awal lagi telah bersedia memakai tudung.
     “Haziq!” Syed Ahmad memanggil lelaki tadi.Lelaki itu memalingkan muka. Syarifah Jamilah tertawa geli hati. Lelaki yang dipanggil Haziq itu, rupanya Faisal, tetamu yang ditunggunya.
     “Faisal lah bang, bukan Haziq,” Syarifah Jamilah membetulkan. Setahunya lelaki itu mengenalkan namanya sebagai Faisal.
     “Haziqlah….Awak tu yang salah dengar…” Syed Ahmad cuba untuk meyakinkan Syarifah Jamilah.
     Fatihah keluar apabila mendengar pergaduhan kedua ibu bapanya. Tiba-tiba sahaja mereka berdua berbincang hangat.
     “Kenapa ni ummi, kecoh je?”
     “Abah Ati kata, nama budak yang langgar Ati tu Haziq, bukan Faisal ke?”
     Fatihah sekadar mengangkat bahu, tanda tidak tahu. “Lerrr ummi, tanyalah empunya diri… Abah, jemputlah dia masuk, semua dah settled.”
     “Haziq, marilah masuk…. Duk kat luar panas,” Syed Ahmad menjemput hormat. Lelaki itu menoleh. Hatinya berbunga riang. Pasti namanya Haziq!!!! Dia yakin kemenangan berpihak padanya.
     Buat pertama kali Fatihah melihat dengan jelas wajah lelaki itu. Tinggi juga orangnya. Wajahnya sederhana, tetapi agak berkarisma.
     “Assalamualaikum…” Haziq mengucap salam. Tertib orangnya pada pandangan Fatihah dan Syarifah Jamilah.
     “Waalaikumussalam… Masuklah, Faisal,” Syed Ahmad sedikat tertawa. Syarifah Jamilah masih lagi mempertahankan apa yang diyakininya. Syed Ahmad yakin… Sebentar tadi Haziq menoleh ketika namanya dipanggil.
     “Silalah duduk, nak,” Syarifah Jamilah sengaja menggantikan ‘nak’ pada nama lelaki itu. Bimbang memang dia tersalah dengar. Tentu malu.
     “Maaflah ye nak. Pak Cik nak tanya, nama penuh anak ni sapa?” Syed Ahmad sengaja bertanya. Bagai ingin mengesahkan kemenangannya.
     “Haziq Faisal, pak cik… Kenapa?”
     Syed Ahmad tidak semena-mena tertawa dengan kuat. Geli hati benar dia. Syarifah Jamilah dan Fatihah turut tertawa. Wajah Haziq terpinga-pinga.
     “Maaflah ye, Haziq. Ummi dan abah saya ni dah bertengkar pasal nama awak, abah kata Haziq, ummi kata Faisal. Tak sangka pulak dua-dua nama awak,” Fatihah menerangkan apabila melihat wajah Haziq yang terpinga-pinga.
     “Nama….?!”

No comments:

Post a Comment