sekadar bicara hati

tempat ku melakar sejuta rasa.... andai bisa dan masih ada masa....:)

Thursday, July 29, 2010

Bab X - Entah kenapa sunyi subuh itu bagaikan melabuhkan tirai kesabaran Syed Jabar

BAB (X)

SUASANA hening pagi itu. Entah kenapa sunyi subuh itu bagaikan melabuhkan tirai kesabaran Syed Jabar. Menutup pintu kemarahan yang telah berminggu terbuka. Sunyi subuh itu membuatkan Syed Jabar berfikir akan punca kemarahannya. Adakah kerana Farihin mungkir janji atau kerana Farihin telah menidakkan kewujudannya dalam keputusan yang diambil ?
     Setelah solat subuh, Syed Jabar kembali ke katil. Cuba bertenang dan berfikir secara rasional dengan neraca akal dan iman. Di manakah silap anaknya sehingga emosi mengatasi akal?
     Segala kenangan bagai berlayar di mata. Segala sifat dan kelakuan Farihin ditimbangnya dalam-dalam. Syed Jabar  mengakui inilah kali pertama Farihin melawan katanya.  Ketika dia ingin memilih jurusan  di universiti pun, Syed Jabar masih campur tangan.  Kerana mengikut kata Syed Jabar, Farihin memilih untuk ke bidang agama walaupun dia berminat untuk menjadi jurutera. Begitu juga ketika Farihin ingin memilih universiti, sekali lagi Syed Jabar yang menentukan.  Farihin menurut tanpa membantah. Sebelum dia mengisi borang, Farihin bertanya dulu dengan Syed Jabar.  Syed Jabar merasa sepanjang hidup Farihin, dia yang menentukan segalanya.
    “Abang…” Syarifah Aminah muncul entah dari mana menegur Syed Jabar yang bermenung. Teguran itu, memadam segala kisah yang berlegar di matanya.
     “Awak rasa saya melampau ke?”
     “Emmm…” Syarifah Aminah teragak-agak untuk mengeluarkan pendapat. Jarang suaminya meminta pendapat. Selalunya hanya arahan yang meniti bibir Syed Jabar.
     “Awak ingat tak masa In nak masuk UIA? Dia nak ambik matriks engeneering, saya suruh juga dia ambil Ilmu Wahyu. Dia diam je. Sepatah pun tak menjawab.”
     Syarifah Aminah mengangguk. Tentu dia ingat, kerana biasanya, Farihin akan pergi kepadanya meluah rasa hati. Farihin walaupun bersetuju, memberontak dalam diam.
     “Masa dia dapat tawaran masuk MRSM Kuala Pilah lepas PMR, saya suruh dia terima tawaran KISAS walaupun dia minat kaji angkasa. Sekarang baru saya dapat fikir, dah lama saya hancurkan impian dia kan?”
     Syarifah Aminah ternganga. Begitu cepat Allah makbulkan doanya. Begitu cepat Allah menumbuhkan semula kasih sayang dalam hati Syed Jabar. Hatinya berbunga. Mungkin ini titik perubahan suaminya. Diam-diam dipanjatkan kesyukuran. Teringat ketika Farihin selepas PMR dia mahu menjadi angkasawan atau jurutera bahagian angkasa. Kerana tak dapat meneruskan pelajarannya di MRSM, Farihin berusaha untuk menubuhkan persatuan Falak Syarie, sebuah persatuan kaji bintang yang mengikut cara Islam,  di KISAS.
     “Saya ni bukan apa. Saya nak dia jadi ulama. Bukannya tak boleh jadi engeneer, tapi ilmu agama mesti kuat dulu. Zaman sekarang ni ulama’ susah nak cari yang betul-betul nak tegakkan Islam. Banyak yang ikut sedap je. Masa dia jadi Presiden PMI tu, saya bangga betul! Tapi saya malu nak tunjuk. Takut dia besar kepala.” Syed Jabar berhenti. Melihat wajah isterinya. Mengesan emosi wanita itu.
     “Awak kenapa tak kata apa-apa? Sejak kita kahwin sampai sekarang, awak selalu ikut je apa saya kata. Awak diam je.”
     “Abang, seingat saya, tak de pun yang awak minta saya ke,  Farihin ke buat benda yang salah. Yang langgar hukum agama. Dah tu, buat apa saya bantah. Mungkin, Farihin sekarang minta peluang nak tentukan hidup dia. Cara dia yang mungkin tak betul. Maafkanla dia, bang.”
     Syed Jabar terdiam. Memang isteri seperti Syarifah Aminah amat sukar dicari sekarang. Yang sabar dan menurut segala kerenah suami. Yang bijak membaca emosi suami. Syed Jabar yakin jika orang lain, pastilah rumahtangga mereka selalu bergoyang. Memang benarlah, seindah-indah perhiasan dunia adalah wanita soleha. Yang akan mewujudkan syurga di dalam rumahtangga.
     “Minah, saya keluar dari hospital nanti, awak panggil In balik. Kita buat kenduri kahwin yang sempurna. Tak nak la orang kata kita tak sayang anak.”
     Syarifah Aminah tersenyum. Inilah mungkin ganjaran yang Allah beri untuk mereka yang sabar.
     “Assalamualaikum….”
     Syarifah Aminah dan Syed Jabar menoleh. Wajah putih bersih yang tersirna di balik pintu yang terbuka direnung. Senyuman yang menguntum dibalas.
     “Waalaikumussalam….”

No comments:

Post a Comment