sekadar bicara hati

tempat ku melakar sejuta rasa.... andai bisa dan masih ada masa....:)

Thursday, July 29, 2010

Bab VIII

BAB (VIII)

HATI berdebar, badan menggeletar. Bagaikan pesalah menanti hukuman. Soleha sejak tadi mententeramkan dirinya. Berjumpa ibu bapa mentua rupanya lebih seksa daripada menunggu keputusan peperiksaan. Kadangkala terasa ingin luruh jantungnya.
     “Abang percaya, ayah dan ibu terima Soleha,” kata-kata Farihin ditelannya sahaja. Bukan tidak percaya, tetapi kesalahan mereka berkahwin tanpa pengetahuan keluarga bukan mudah dipadam daripada lipatan kenangan. Tambahan lagi, ibu dan ayah Farihin tidak pernah bertemu dengannya sebelum ini.
     “Mudah-mudahan Allah buka hati mereka,” sekadar itu kata Soleha. Selalunya, mereka senang bercerita. Namun, perjalanan lebih tiga jam itu tiada bicara ceria yang menghiasi.
     “Kita dah sampai. I just want you to remember, whatever it is, I love you soo much,” Farihin meramas tangan Soleha. Dikucup tangan isterinya. Mengharapkan Soleha menyelami isi hatinya. Soleha mengangguk lalu mengucup kembali tangan Farihin lama.
     Farihin teringat Fatihah ketika ini. Betapa baiknya gadis itu. Sanggup dia menelefonnya memberitahu tentang keadaan kesihatan ayahnya. Farihin rasa tambah bersalah apabila mendengar berita kemalangan Fatihah ketika ingin menjenguk Syed Jabar. Susah benarkah ingin mendakap bahagia? Perlukah kebahagiaan mengorbankan insan-insan yang tersayang?
     “Abang…..” Panggilan Soleha mengembalikannya pada kenyataan. Kembali dia menggapai tangan isterinya. Mencari kekuatan pada genggaman tangan itu.
     “Jom…”
     Soleha rasa tidak kuat. Kakinya terasa lemah untuk melangkah. Bagai banduan ke bilik hukuman gantung. Puas dia membaca doa penguat hati. Tetapi hati masih gugup menghadapi kenyataan.
     “La takhaf wa la tahzan. Innallaha ma’ana,
     “Assalamualaikum…” Farihin membuka pintu bilik di mana Syed Jabar ditempatkan. Seorang lelaki terbujur dengan wayar berselirat di tubuhnya. Seorang wanita duduk di sisi lelaki itu. “Ibu…” Farihin menyalami wanita itu. Syarifah Aminah menyambut salam sambil memeluk anaknya. Sedih melihat permata hati. Air mata entah kenapa mudah benar menuruni kelopak mata, membasahi baju Farihin.
     “Sudah… Tak usah awak bazirkan air mata awak pada budak ‘bertuah’ ni!” Suara Syed Jabar melengking. Amarahnya bagai gunung berapi. Terus meletup tanpa sebarang amaran. Walaupunbegitu, dia masih menjaga kata-katanya. Bimbang tersumpah. Dia beristighfar menyejukkan hati. Amarahnya meluap kembali apabila melihat Soleha masuk ke bilik itu.
     “Tapi bang…”
     “Farihin… Kau pergi balik! Ayah dan ibu masih tak dapat terima apa yang kau buat…. Tak kira apa sebab sekalipun… Kau nak buat apa pun, kau tak patut lupakan ibu dan ayah!”
     Farihin tahu, kalau ayahnya sudah memanggil ‘Farihin’ bermakna amarahnya sudah memuncak. Tidak perlu dia berkata apa-apa lagi. Namun Farihin tidak peduli, dia tetap membatu di situ. Tidak berganjak. Ayah dan ibu perlu diberikan penjelasan.
     “Ayah, dengar dulu apa saya nak cakap… Soleha dalam bahaya. Dia nak dibunuh dengan keluarga dia kalau masuk Islam,” tenang dan jelas tanpa tersangkut Farihin menerangkan. Biji butirnya telah dikarang sejak dia di Kuala Lumpur lagi.
     “Habis… Kau nak jadi Superman, Batman? Nak jadi hero selamatkan orang? Farihin, negara kita ada undang-undang! Bukan senang-senang je nak bunuh orang. Bagitau polis la. Bukan pada Tok Kadi!”
     “Tapi ayah… Saya ikhlas nak tolong dia. Saya ikhlas nak lindung dia. Saya sayangkan dia, ayah… Saya cintakan dia.”
     “Sayang?!… Cinta?!… Pergi berambuslah! Aku tak nak tengok muka kau lagi! Jangan kau datang lagi kat sini. Teruslah jadi hero!”
      Syarifah Aminah menarik tangan Farihin. Dia tahu kalau dibiarkan amarah suaminya berlanjutan, sakit jantungnya akan bertambah teruk. Dia mengajak Farihin keluar. Soleha sekadar mengekor. Masih berdebar dengan drama keluarga yang disajikan sebentar tadi.
     “In, dengar cakap ibu ni. Jangan datang sini buat sementara ni. Ibu tak mahu ayah In bertambah teruk. Insya Allah… ibu pujuk dia. In doakan je lah ye… ”
     Farihin mengangguk sambil menarik Soleha ke sisinya, “Ibu, ni Soleha…..”
     “Manis ya… Patutlah…” Syarifah Aminah merenung wajah Soleha. Hatinya terasa sejuk. Wajah sebersih titisan embun,  perlukah dibiar  terus menjamah derita? Entah kenapa Syarifah Aminah jatuh kasih memandang wajah menantunya.
     “Ibu, In… terpaksa kahwin dengan Soleha cepat-cepat sebab dia kena ugut dengan keluarganya. Banyak kali orang ugut dia dengan telefon, surat layang pasal dia masuk Islam. In.. sayangkan dia sangat, In tak nak apa-apa jadi pada dia. In..” Farihin tak mampu berkata lagi. Air matanya hampir menitis apabila tangan Syarifah Aminah memegang erat tangannya.
     “Ibu faham, In….”

No comments:

Post a Comment